am@hmetro.com.my
Padang Besar: Ahli 14 daripada 24 cawangan BERSATU Padang Besar mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta malam ini, sekali gus menyaksikan bahagian itu kini lumpuh.
Timbalan Ketua BERSATU Padang Besar, Ramzi Md Udi, berkata keputusan itu diambil selepas mereka hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti di peringkat Pusat.
Katanya, tindakan meletakkan jawatan secara beramai-ramai itu dicapai dalam kesepakatan selepas perbincangan bersama rakan pimpinan peringkat bahagian, cawangan dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) masing-masing.
“Hari ini ahli mewakili 14 daripada 24 cawangan mengisytiharkan keluar parti, ini bermaksud lebih dua pertiga daripada cawangan BERSATU di Padang Besar sudah terbubar dan selepas ini ada lagi beberapa cawangan lain akan menyusul.
“Keputusan ini dibuat selepas penilaian sedalam-dalamnya. Kami berpendapat tidak lagi percaya kepada kepemimpinan bahagian, negeri dan juga di peringkat Pusat,” katanya pada sidang media malam ini.
Turut mengambil tindakan meninggalkan parti ialah Naib Ketua Bahagian, Ramli Aripin; Pemangku Ketua Srikandi Bahagian, Fazuwin Razak dan Ketua Srikandi Muda Bahagian, Nurul Hafiza Ramli.
Ramzi berkata, kumpulan itu juga bersetuju untuk meneruskan kelangsungan perjuangan politik dengan menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Demi masa depan politik yang lebih jelas dan demi kepentingan masyarakat, kami memilih untuk bergerak ke hadapan dengan menyertai WAWASAN,” katanya.
Ramzi juga mendakwa, pelantikan Izizam Ibrahim sebagai Pengerusi BERSATU Perlis yang baharu seolah-olah memperlihatkan agenda untuk meretakkan lagi hubungan bersama PAS di negeri itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
