am@hmetro.com.my
Kuantan: Lima maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nenasi-Rompin, berhampiran Kampung Sembayan, Nenasi, Pekan, hari ini.
Mereka yang maut, masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, setakat ini, identiti lima mangsa belum dikenal pasti.
Katanya, berdasarkan laporan, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kes kemalangan jalan raya membabitkan kereta Proton Wira Aeroback dan kenderaan serba guna (MPV) pada 7.14 malam.
“Seramai 13 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin diarahkan ke lokasi kejadian bersama jentera dan tiba di lokasi pada 7.34 malam.
“Balai bantuan turut digerakkan ke lokasi iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi dengan 10 anggota dan jentera,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima mangsa bertembung dengan sebuah MPV Nissan Grand Livina yang dinaiki dua individu, masing-masing seorang lelaki dan wanita dewasa.
Akibat kemalangan itu, katanya, wanita yang menaiki Grand Livina tersepit manakala mangsa lelaki tidak tersepit dalam kenderaan itu.
“Sementara itu, lima mangsa menaiki Proton Wira Aeroback disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Rompin manakala lima mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd