am@hmetro.com.my
Kuching: Kumpulan Media Sarawak (SMG) yang memiliki stesen TV Sarawak (TVS) bersedia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang dijalankan terhadap pegawai kanannya.
SMG dalam kenyataan di Facebook hari ini mengakui penahanan seorang pegawainya menarik perhatian umum, namun ia tidak mengganggu fokus kumpulan media Sarawak itu.
Malah pihak SMG tetap komited untuk menegakkan prinsip keadilan dan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika diperlukan dalam membantu siasatan.
“Walaupun kami memahami kebimbangan yang diutarakan oleh pelbagai pihak, kami ingin menjelaskan bahawa perkara ini di peringkat kakitangan dan tidak berkaitan dengan kumpulan SMG danTVS secara keseluruhan,” kata kenyataan itu.
SMG berkata, operasi perniagaannya akan diteruskan seperti biasa dan menggalakkan pertanyaan atau penjelasan mengenai perkara ini diarahkan ke saluran komunikasi rasminya untuk memastikan maklumat yang tepat dan boleh dipercayai.
Menurutnya, pihaknya komited untuk mengekalkan kepercayaan dan integriti pihak berkepentingan dan orang ramai.
“Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini mengikut kesesuaian.
“Kami ingin juga menekankan bahawa penyebaran sebarang maklumat palsu atau dakwaan tidak berasas boleh menyebabkan kemudaratan yang tidak wajar kepada reputasi kami.
“Sebarang tindakan seperti itu tidak akan dipandang ringan, dan kami berhak untuk melindungi reputasi kami dan mengambil sebarang tindakan yang perlu dalam penghormatan ini,” katanya.
Hari ini, ketua pegawai eksekutif TVS dan seorang wanita yang ditahan atas dakwaan pengubahan wang haram, dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching untuk perintah reman dua hari sebelum dibawa ke Kuala Lumpur bagi memudahkan siasatan.
Suspek berusia 62 dan 60 tahun itu ditahan semalam dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram kerana pengubahan wang haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd