Rompakan di Genting Highlands: Polis buru 3 suspek

am@hmetro.com.my

Bentong: Tiga suspek disyaki terbabit dengan kes rompakan sebuah kedai emas terletak di dalam pusat beli-belah di Genting Highlands, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian itu berlaku pada 11.40 pagi dan suspek dipercayai bersenjatakan kapak dan kuku kambing.

Menurutnya, siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dilakukan termasuk mengenal pasti jumlah pekerja berada di dalam premis ketika rompakan berlaku.

“Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah negeri bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong dan Polis Bantuan Genting Highlands masih di lokasi kejadian.

“Polis turut melancarkan Op Tutup di semua laluan keluar dan masuk ke Genting Highlands untuk mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi.

Azry Akmar berkata, perkembangan lanjut mengenai kes itu termasuk hasil siasatan akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, tular di media sosial media yang mendakwa sebuah kedai emas di Genting Highlands dirompak.

Imej dan video tular turut memaparkan suspek berpakaian hitam, memakai topi dan membawa guni berlari di dalam kompleks beli-belah berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top