5 negara mula tugas anggota Tak Tetap Majlis Keselamatan PBB

5 negara mula tugas anggota Tak Tetap Majlis Keselamatan PBB

New York: Bahrain, Colombia, Congo, Latvia dan Liberia pada Jumaat mula memikul tanggungjawab sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Xinhua.

Tempoh perkhidmatan dua tahun negara berkenaan secara rasmi bermula pada 1 Januari, namun Jumaat ini hari bekerja pertama bagi majlis itu bagi 2026 selepas cuti Krismas dan Tahun Baharu.

Satu upacara pemasangan bendera sudah diadakan bagi menandakan permulaan tanggungjawab mereka.

Duta Besar Kazakhstan ke PBB Kairat Umarov, yang menjadi hos bersama upacara berkenaan, mengucapkan tahniah kepada lima anggota baharu majlis itu dan mendoakan mereka diberikan ketabahan, perpaduan dalam matlamat, serta kejayaan sepanjang penggal perkhidmatan mereka.

Kami berharap anda akan memberikan sumbangan yang bermakna dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menangani cabaran global yang kritikal dan memperkukuh mandat majlis bagi mempromosikan keamanan serta keselamatan, katanya.

Pemasangan bendera itu berfungsi sebagai peringatan jelas bahawa tugas dalam Majlis Keselamatan adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab.

Ia menandakan permulaan mandat mencabar yang dijalankan bagi pihak seluruh keanggotaan PBB, kata Umarov.

Lima negara berkenaan menggantikan Algeria, Guyana, Republik Korea, Sierra Leone dan Slovenia.

Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 anggota, mempunyai lima anggota tetap iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat, serta 10 anggota tidak tetap yang dipilih untuk tempoh dua tahun oleh Perhimpunan Agung PBB. Lima anggota tidak tetap diganti setiap tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top