am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lima warga tempatan mendakwa menjadi mangsa sindiket pekerjaan dan dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ sejak tiga bulan lalu di Kemboja.
Mendedahkan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Skudai, Marina Ibrahim berkata, beliau dihubungi mangsa Ahad lalu yang meminta bantuan pulang ke Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak Wisma Putra bagi memaklumkan perkara itu supaya tindakan segera dilakukan demi menyelamatkan mangsa.
Menurutnya, lima mangsa terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki dari Johor, Melaka dan Terengganu mendakwa dikurung dan dilayan umpama tahanan oleh sindiket berkenaan.
Marina berkata, lebih membimbangkan mangsa mendakwa terdapat ura-ura bahawa mereka turut cuba dijual kepada pihak lain.
“Mangsa berhubung dengan saya menerusi Facebook (FB) menyatakan mereka dikawal ketat dan tidak dibenarkan keluar bangunan.
“Mangsa menyatakan dia serta empat lagi rakyat Malaysia berusia antara 30 hingga 40-an dikurung di sebuah bangunan di Sihanouk, Kemboja.
“Mereka mendakwa dipaksa bekerja sebagai scammer, asalnya mereka dijanjikan pekerjaan dengan gaji lumayan oleh seorang rakyat Malaysia dan tidak menjangka perkara seumpama ini berlaku.
“Sekiranya gagal menjalankan kerja dengan baik, mereka mendakwa turut dihukum,” katanya.
Beliau berkata, difahamkan pihak kedutaan sudah menghubungi polis di Kemboja yang bertindak menyerbu bangunan berhampiran lokasi sindiket itu beroperasi.
“Saya difahamkan sehingga kini mereka masih belum dapat diselamatkan dan ia menimbulkan kebimbangan keluarga.
“Ada juga pihak yang mendakwa boleh membantu mereka dihantar pulang tetapi menuntut bayaran RM4,350 bagi setiap orang.
“Mereka bukan orang senang malah sanggup ke luar negara dengan impian mengubah nasib keluarga malangnya mereka ditimpa musibah.
“Mereka masih boleh dihubungi menerusi WhatsApp, saya berharap perkara ini diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana nyawa mereka dalam bahaya.
“Saya berharap keluarga mangsa segera membuat laporan polis,” katanya.
Marina berkata, pihaknya juga berharap dalang sindiket pekerjaan membabitkan rakyat negara ini dikesan serta diambil tindakan.
“Mangsa tidak mungkin pergi sendiri ke Kemboja, ini bukan kes pertama malah sebelum ini saya juga pernah bertemu dengan seorang ibu yang mendakwa anaknya tidak pulang selepas diperdaya sindiket pekerjaan seumpama ini.
“Kes ini sepatutnya dijadikan pengajaran oleh semua pihak, jangan mudah percaya tawaran kerja yang menjanjikan pendapatan lumayan terutama di luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




