50 penduduk Taman Sri Muda menang saman kecuaian banjir

50 penduduk Taman Sri Muda menang saman kecuaian banjir

SHAH ALAM: Seramai 50 penduduk Taman Sri Muda memenangi saman terhadap kerajaan dan beberapa agensi berkaitan berhubung kecuaian serta kegagalan melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan banjir pada 2021 yang mengorbankan 12 nyawa di kawasan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah ketika membacakan keputusan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkata, plaintif berjaya membuktikan tuntutan mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian terhadap kerajaan dan agensi terbabit.

“Mahkamah memutuskan bahawa plaintif berjaya membuktikan kewujudan kewajipan berjaga-jaga yang boleh dijangka, yang timbul daripada fungsi operasi dan tanggungjawab pengurusan bencana defendan (kerajaan).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembelaan ‘takdir Tuhan’ yang dikemukakan tidak terpakai apabila campur tangan manusia yang munasabah boleh dilakukan. Kecuaian telah dibuktikan. Doktrin kekebalan asing tidak relevan di bawah undang-undang Malaysia,” katanya.

Mahkamah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara didakwa gagal meningkatkan tahap tindak balas bencana, mengekalkan pusat penyelarasan utama dan mengerahkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan berkesan’ semasa banjir itu.

“Pihak berkuasa gagal menguruskan lokasi kejadian dengan berkesan, menyebabkan usaha mencari dan menyelamat sebahagian besarnya diserahkan kepada NGO dan anggota masyarakat setempat,” kata Shoba.

Beliau turut berkata Jabatan Meteorologi gagal mengeluarkan amaran tepat pada masanya pada tahap bahaya yang sewajarnya, meskipun ramalannya menunjukkan bahawa ambang yang berkaitan telah dicapai.

Mahkamah memutuskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungan secara bersama dengan kerajaan Persekutuan.

Mahkamah menetapkan 6 Oktober untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran penilaian ganti rugi.

Seramai 50 penduduk itu diwakili peguam James Joshua Paulraj, Regine Ng, Ahmad Badri Mustaffa, M Gobinath dan P Taneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin hadir bagi pihak kerajaan Persekutuan, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri Faris Shah Kamarulzaman dan peguam Norazalina Hairuddin masing-masing mewakili JPS Selangor dan MBSA. – UTUSAN 

Scroll to Top