Filem The Fox King wakili Malaysia di Anugerah Akademi ke-99

Filem The Fox King wakili Malaysia di Anugerah Akademi ke-99

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Filem The Fox King atau Semusim Lara arahan dan skrip oleh Woo Ming Jin diumumkan terpilih mewakili Malaysia untuk dipertandingkan pada Anugerah Akademi ke-99, tahun depan.

Pengumuman dibuat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi kenyataan media hari ini.

The Fox King (Semusim Lara) dipilih sebagai penyertaan rasmi Malaysia untuk dipertimbangkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa (International Feature Film).

Anugerah Akademi ke-99 atau Oscar yang berprestij itu dijadualkan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Amerika Syarikat pada 14 Mac 2027.

Pemilihan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem FINAS dengan mengambil kira syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Academy of Motion Picture Arts and Sciences (AMPAS).

The Fox King mengisahkan dua beradik kembar, Ali dan Amir yang membesar tanpa ibu mereka.

Namun, kehadiran Lara, seorang guru Bahasa Inggeris membawa perubahan kepada kehidupan dan hubungan kedua-duanya.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Idan Aedan, Hadi Putra dan bintang Indonesia, Dian Sastrowardoyo sebagai pelakon utama.

Terbitan bersama syarikat daripada Malaysia dan Indonesia, filem ini turut menerima sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi melalui FINAS.

Sebelum ini, The Fox King pernah mengadakan tayangan perdana dunia dalam program Centrepiece di Toronto International Film Festival (TIFF) pada 9 September tahun lalu.

Filem ini kemudiannya menyertai beberapa festival filem antarabangsa sehingga 1 Mei lalu, termasuk Busan International Film Festival, Jakarta Film Week, Taipei Golden Horse Film Festival, Singapore International Film Festival, Beijing International Film Festival, Far East Film Festival di Udine serta San Francisco International Film Festival.

Kementerian Komunikasi dan FINAS turut merakamkan tahniah kepada Woo Ming Jin serta seluruh barisan pelakon dan tenaga produksi The Fox King yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 17 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top