50 peratus 'kampung' Rohingya Sungai Tekali sudah dirobohkan

50 peratus 'kampung' Rohingya Sungai Tekali sudah dirobohkan

razis@mediaprima.com.my

Hulu Langat: Kerja-kerja merobohkan struktur kediaman yang dikaitkan dengan komuniti Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Sungai Tekali, di sini, masih giat dilaksanakan secara berperingkat oleh pemilik tanah.

Tinjauan Harian Metro sekitar jam 11 pagi semalam, mendapati beberapa kediaman yang dibina di atas tanah rizab sungai di bahagian belakang bangunan flat empat tingkat itu sudah dirobohkan sepenuhnya.

Kini, kerja-kerja pembersihan serta pengalihan sisa runtuhan seperti besi dan konkrit di kawasan rizab berkenaan sedang dijalankan oleh kira-kira 10 pekerja.

Selain itu, operasi merobohkan sebuah lagi kediaman yang terletak di atas tanah berkenaan sedang dilaksanakan menggunakan jengkaut sebelum tumpuan diberikan kepada kerja-kerja meruntuhkan struktur ‘flat’ empat tingkat berkenaan.

Anak pemilik tanah berusia 38 tahun yang enggan dikenali berkata, kerja-kerja merobohkan struktur kediaman itu kini sudah mencapai hampir 50 peratus.

Menurutnya, kerja itu dilaksanakan secara berperingkat menggunakan kos sendiri.

Katanya, proses perobohan sedang giat dijalankan dengan bantuan beberapa pekerja serta rakan yang tampil membantu bagi mempercepatkan kerja berkenaan.

“Struktur kediaman yang dibina di atas kawasan rizab sungai dan tanah kerajaan sudah dirobohkan, manakala baki yang masih tinggal adalah struktur yang berada di atas tanah milik keluarga kami sendiri.

“Bahagian yang masih tinggal akan diteruskan sehingga kerja perobohan selesai sepenuhnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan agensi berkaitan yang hadir melakukan pemantauan serta pemeriksaan hampir setiap hari bagi melihat perkembangan semasa kerja-kerja itu.

“Kami juga sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa kepada pihak berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan susulan isu berkenaan dan berharap diberikan sedikit masa bagi membolehkan keluarganya menyelesaikan proses merobohkan itu dengan sempurna.

“Kami sedang berusaha menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin dan berharap orang ramai dapat memberi sedikit ruang kepada kami. Kami komited untuk mematuhi arahan pihak berkuasa sehingga proses ini selesai sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil pendekatan memberi peluang kepada pemilik tanah melaksanakan kerja meroboh itu sendiri sebelum sebarang tindakan lanjut dipertimbangkan.

“Minggu depan kita akan turun semula bagi meninjau perkembangan kerja yang sedang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa serta agensi berkaitan turut memantau perkembangan operasi itu dari semasa ke semasa bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

Harian Metro sebelum ini melaporkan etnik Rohingya didakwa membina kediaman menyerupai flat empat tingkat secara tidak sah di Sungai Tekali, di sini.

Ia susulan pendedahan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum merakam video memaparkan keadaan bangunan yang mencurigakan.

Video tular itu menunjukkan kewujudan kediaman bertingkat dengan laluan koridor berbumbungkan zink, struktur dinding bata yang tidak disimen dengan sempurna selain sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang mencurigakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top