50 usahawan terima anugerah MBBA 2022

KUALA LUMPUR – Seramai 50 usahawan yang berjaya dalam pelbagai kategori perniagaan masing-masing bakal menerima anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2022 yang akan diadakan disebuah hotel di ibu negara, Ahad ini.

Menurut Pengerusi Malaysia Best Business Award 2022, Shahir Adnan, majlis itu dibuat bagi meraikan golongan usahawan secara individu mahupun syarikat yang berjaya dan bangkit meneruskan perniagaan ketika dunia dilanda wabak Covid-19, namun tetap gigih tanpa menyerah kalah dan terus berjuang dalam perniagaan masing-masing.

Katanya, berbekalkan kekuatan, usaha dan kebijaksanaan menguruskan perniagaan, pihak MBBA 2022 bersetuju memberikan mereka anugerah berkenaan.

“Bertemakan kepada wajah kecemerlangan, anugerah ini adalah penanda aras bagi kecemerlangan semua usahawan di peringkat negara dan juga di peringkat global.

“Pihak MBBA membuktikan bahawa sektor perniagaan dan keusahawanan negara tetap berkembang maju,” katanya menerusi kenyataan.

Shahir berkata, anugerah itu juga merupakan satu pengiktirafan peringkat nasional bagi keseluruhan usahawan di negara ini yang terbukti berjaya mengharungi liku-liku perniagaan pasca Covid-19.

Tambah beliau, ia juga satu pengiktirafan kepada usahawan yang menunjukkan usaha gigih, kecekalan yang jitu dan kebijaksanaan membina perniagaan dalam mengharungi kemerosotan ekonomi global yang dirasai seluruh dunia.

“Nantikan program-program susulan di bawah MBBA bagi tahun 2022 dan 2023. Semoga banyak lagi kerjasama murni dapat diteruskan pada masa akan datang yang bertujuan untuk memperkasakan lagi kejayaan para usahawan semua,” katanya.

MalaysiaGazette turut bakal menerima anugerah khas pada majlis itu menerusi kategori Best Business In Online News (Digital Publisher Of The Year). – MalaysiaGazette