khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 515 kes tangkapan membabitkan pencerobohan nelayan asing direkodkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan 367 kes daripadanya adalah vesel Vietnam bagi tahun 2020 hingga 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerugian kepada negara dianggarkan sebanyak RM823 juta akibat daripada pencerobohan nelayan asing itu.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi ASEAN, negara ini mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi sektor perikanan di peringkat serantau untuk menangani isu pencerobohan nelayan asing pada tahun 2024 hingga 2025 khususnya dari Vietnam.
Menurutnya, antara langkah pencegahan itu adalah menerusi ASEAN Sectoral Working Group on Fisheries (ASWGFi) dan ASEAN Network for Combating Illegal, Unreported and Unregulated (IUU) Fishing (AN-IUU), di mana Malaysia menggalas peranan penting dalam memperkukuh rangkaian perhubungan dan perkongsian maklumat serantau berkaitan aktiviti IUU Fishing.
“Komitmen Malaysia dalam platform serantau Regional Plan of Action – RPOA-IUU terus diperkukuh melalui kerjasama subrantau seperti South China Sea, Sulu-Sulawesi Seas dan Gulf of Thailand yang membabitkan negara jiran termasuk Vietnam.
“Mengekalkan hubungan diplomatik dan pertukaran maklumat dengan agensi perikanan luar negara termasuk Vietnam serta memuktamadkan perjanjian persefahaman (MoU) baharu dalam kerjasama pertanian dan perikanan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah pencegahan diambil kementerian sebagai Kepengerusian ASEAN tahun ini dalam isu pencerobohan nelayan asing terutamanya Vietnam ke perairan negara serta jumlah kerugian yang dialami oleh Malaysia.
Mengulas lanjut katanya, di peringkat nasional, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui DOF melaksanakan empat langkah pencegahan iaitu penubuhan Jawatankuasa Induk IUU Fishing (JKIIUU) di mana sehingga kini, sebanyak 63 vesel perikanan asing disenaraikan sebagai vesel IUU dan 45 daripadanya adalah Vietnam.
“Kedua, pindaan Akta Perikanan 1985 (Akta 317) bagi memperketat hukuman serta pengharaman penggunaan peralatan menangkap ikan yang merosakkan seperti bubu naga.
“Ketiga, tindakan undang-undang tegas di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) termasuk hukuman penjara, denda, pembatalan lesen dan lucut hak vesel.
“Keempat, pemerkasaan aktiviti penguatkuasaan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) serta penggunaan Vessel Monitoring System (VMS) bagi mengesan pergerakan vesel asing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




