52 kompaun kerana merokok, gagal pamer tanda larangan

52 kompaun kerana merokok, gagal pamer tanda larangan

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Sebanyak 44 kompaun bernilai RM11,000 dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat awam hasil operasi bersepadu Kementerian Kesihatan (KKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu negara malam ini.

Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 .

Dalam operasi yang turut disertai Jabatan Kesihatan WilayahPersekutuan, sebanyak lapan lagi kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan mengikut Peraturan 12 PPKHT 2004 kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok selain menyediakan kemudahan shisha.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Timbalan Pengarah Kanan Kesihatan Awam DBKL, Dr Nor Halizam Ismail, dalam kenyataan bersama memaklumkan, operasi yang dijalankan adalah bagi memastikan pematuhan kepada larangan merokok dan perkara berkaitan terutama di tempat makan.

“Sebanyak 262 premis di tempat tumpuan utama dilawati iaitu di Jalan Bukit Bintang, Bangsar dan Jalan Alor membabitkan sejumlah 60 anggota daripada Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, KKM serta DBKL.

“Dalam operasi ini, seramai 72 orang turut diberikan pendidikan kesihatan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KKM serius dalam menangani masalah merokok terutama selepas pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa akta baharu akan diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok serta pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.

Justeru, penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok mengikut PPKHT 2004 terutama di tempat makan akan terus dijalankan secara berterusan.

“Orang ramai diingatkan untuk terus memastikan supaya peraturan ini sentiasa dipatuhi. Sebarang aduan berkaitan kesalahan merokok di tempat awam boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949.

“Bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang www.jomquit.com,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd