Kuala Lumpur: Ratusan pelarian Rohingya yang berkampung di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini hari ini, dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemindahan kesemua warga asing terbabit dilakukan malam ini.
Tinjauan Bernama di lokasi mendapati operasi pemindahan bermula 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian tersebut turut membawa bagasi dan barangan peribadi.
Difahamkan, kesemua warga asing itu akan menjalani pemeriksaan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, sumber memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka terlibat dalam penyelarasan kes berkenaan esok bagi mengenal pasti pelarian yang mempunyai dokumen sah UNHCR serta menentukan penempatan yang bersesuaian.
Menurut sumber, individu yang tidak mempunyai kad UNHCR atau gagal membuktikan status pelarian yang sah akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk dihantar ke depoh tahanan sebelum melalui proses penghantaran pulang ke negara asal.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan di negara ini.
Anwar berkata agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JIM serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi tadi dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



