RUPGANJ: Letupan kuat disusuli kebakaran besar di sebuah kilang di Bangladesh meragut 52 nyawa setakat ini manakala sekurang-kurangnya 30 lagi cedera.
Pihak berkuasa berkata ramai terkorban apabila melompat dari bangunan tinggi untuk mengelakkan api yang semakin marak manakala jumlah yang masih terperangkap belum dapat dipastikan.
Keluarga pekerja yang menanti dengan cemas di luar premis kilang bertambah kecewa apabila diberitahu ramai mungkin tidak mampu menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah, Jayedul Alam, memberitahu AFP bahawa kebakaran bermula sekitar jam 5 petang semalam waktu tempatan di kilang makanan serta minuman, Hashem Food and Beverage, di Rupganj dan api masih marak hingga sekarang.
Inspektor polis, Sheikh Kabirul Islam, pula berkata sekurang-kurangnya 30 lagi cedera termasuk mereka yang melompat dari tingkat atas apabila api marak dengan cepat di kilang enam tingkat itu.
“Pihak bomba berjaya menyelamatkan 25 pekerja dari bumbung bangunan kilang membuat mi, manisan serta minuman itu dan kini berusaha memadamkan api di tingkat lima dan enam,” katanya.
Jurucakap pasukan bomba, Debashish Bardhan, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya dapat dilaksanakan selepas kebakaran dikawal.
“Hanya selepas itu dapat kami tentukan berapa ramai mangsa sebenar dalam tragedi ini,” katanya kepada AFP.
Ketua Balai Bomba Dhaka, Dinu Moni Sharma, berkata api terlalu marak dan merebak dengan pantas kerana banyak bahan kimia serta plastik mudah terbakar disimpan dalam kilang berkenaan. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




