am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan menyimbah cat merah sebagai satu bentuk ugutan adalah jalan akhir ceti haram atau along untuk menakut-nakutkan peminjam.
Ia dipraktikkan sejak lebih 20 tahun lalu sebagai simbolik kekerasan dan menunjukkan mereka serius dalam memungut hutang.
Aktivis banteras ceti haram, Azman Kang Abdullah berkata, menjadi kebiasaan bagi along untuk menggertak mangsa dengan mesej ugutan secara berterusan terutama ketika sudah melepasi tempoh waktu ditetapkan.
“Pada peringkat awal berurusan, along ini nampak baik dan sangat membantu. Mereka berlakon seolah-olah mereka ini paling baik di dunia.
“Sebaik perjanjian sudah dipersetujui, mereka akan menunjukkan belang sebenar. Ada yang kejar peminjam walaupun baru tiga hari meminjam,” katanya.
Beliau mengulas insiden sebuah rumah separuh berkembar setingkat di Taman Tunku Haminah, Sungai Petani, disimbah cat merah awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5 pagi itu, dinding rumah serta dua kereta mewah milik penghuni turut terkena simbahan cat merah selain nota ugutan dipercayai ditinggalkan individu terbabit.
Azman berkata, kebiasaannya along akan menghantar mesej terlebih dulu untuk mengugut mangsa termasuk kepada ahli keluarga.
Selepas itu, mereka akan mengugut untuk menyebarkan gambar atau salinan kad pengenalan di kawasan perumahan di mana peminjam tinggal.
“Selepas itu, baru sampai kepada menyimbah cat, atau melontar molotov cocktail serta datang mencari peminjam di alamat yang didaftarkan.
“Terbaru, mereka turut menyebarkan butiran peribadi peminjam di media sosial menggunakan akaun palsu untuk memalukan mangsa.
“Kebanyakan dari mereka ini sudah pun mendapat untung daripada jumlah pinjaman, namun tetap mengancam mangsa untuk mendapat untung mudah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




