54 maut, hujan lebat monsun di Pakistan

54 maut, hujan lebat monsun di Pakistan

Rawalpindi, Pakistan: Hujan lebat dalam tempoh 24 jam menyebabkan 54 kematian di Pakistan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa mencecah kira-kira 180 orang sejak musim monsun bermula pada akhir Jun, menurut agensi bencana negara pada Khamis.

Hujan lebat turun hampir tanpa henti di beberapa bahagian wilayah Punjab sejak pagi Rabu menyebabkan banjir kilat di kawasan bandar dan runtuhan rumah.

Pasukan penyelamat menggunakan bot untuk memindahkan keluarga dari kampung-kampung berhampiran sungai di bahagian selatan pada waktu pagi, tetapi air mula surut menjelang petang.

“Kanak-kanak menjerit minta tolong dan wanita berdiri di atas bumbung, melambai selendang mereka dan merayu untuk diselamatkan,” kata Tariq Mehbood Bhatti, seorang petani berusia 51 tahun dari kampung Ladian.

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah berhampiran sungai Nullah Lai yang mengalir melalui bandar Rawalpindi, bersebelahan ibu negara Islamabad, diarahkan untuk berpindah selepas paras air meningkat dengan mendadak.

“Pasukan penyelamat kini dalam keadaan siap sedia untuk pemindahan lanjut,” kata jurucakap agensi bencana terbabit.

“Penduduk di kawasan berisiko diminta menyediakan kit kecemasan yang mengandungi makanan, air dan ubat-ubatan penting untuk tiga hingga lima hari sekiranya berlaku kecemasan,” kata pihak berkuasa pengurusan bencana negara atau NDMA dalam satu amaran.

Kerajaan Rawalpindi mengisytiharkan cuti umum pada Khamis bagi memastikan orang ramai kekal di rumah, sementara jabatan meteorologi negara memberi amaran bahawa hujan lebat akan berterusan sehingga Jumaat.

Sejak 26 Jun, kira-kira 180 orang terbunuh termasuk 70 kanak-kanak dan sekitar 500 orang cedera, menurut agensi bencana.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, 54 orang terbunuh dan 227 cedera di seluruh Pakistan dengan kebanyakan kematian dilaporkan di wilayah Punjab,” kata jurucakap NDMA kepada AFP dan memaklumkan jumlah itu dikira sehingga 8 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.

Punca utama kematian adalah runtuhan rumah dan banjir kilat, manakala puluhan lagi maut akibat renjatan elektrik.

Musim monsun membawa 70 hingga 80 peratus hujan tahunan dari Jun hingga September di India dan Pakistan.

Pada 2022, banjir musim monsun menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu dan menyebabkan 1,700 kematian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top