am@hmetro.com.my
Kuala Ketil: Kerajaan negeri terpaksa akur terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kedah mendapatkan kebenaran merayu berhubung menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kerajaan negeri ketika ini dalam proses mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak peguam mengenai implikasi keputusan itu serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas ini.
“Mana ada orang boleh tak akur perintah mahkamah, itu hina mahkamah. Tak bolehlah, tengoklah, tengok dia punya kehendak macam mana. Saya punya hati, ya, hati saya dengan Tuhan.
“Tuhan saya tak bagi, tapi makhluk bagi… kalau saya reda dengan mungkar, saya berdosa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kediaman Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga akan mengadakan sesi penerangan dengan menjemput peguam bagi menjelaskan keputusan Mahkamah Persekutuan itu dari sudut undang-undang.
Ketika ditanya adakah selepas ini kerajaan negeri akan kembali memperbaharui lesen premis judi, beliau berkata perkara itu belum dapat diputuskan.
“Peguam yang akan bagi (penjelasan). Apa kesan dia, apa yang mengikat kita, apa yang boleh, apa yang tak boleh.
“Insya-Allah ada jalan. Kalau semua orang tak mahu main, tak payahlah buka. Tak ada permintaan, tentulah tak ada penawaran. Itu perniagaan, kan? Ekonomi dia berjalan macam itu. Kalau ada orang permintaan, adalah penawaran,” katanya.
Pada Rabu minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.
Mengulas sama ada kerajaan negeri akan menggunakan ruang yang masih ada untuk tindakan seterusnya, Muhammad Sanusi berkata perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina mahkamah.
“Itu saya tak boleh nak kata lagi. Kena tengok. Adakah menyatakan hasrat macam itu boleh dikira menghina mahkamah?
“Tapi saya kata hati saya dengan Tuhan saya. Takkan dia nak periksa hati saya, kan?” katanya.
Beliau berkata, pendirian kerajaan negeri terhadap kegiatan perjudian tetap berlandaskan prinsip Islam yang mahu menghalang perkara mungkar.
“Kalau saya reda dengan mungkar, mungkar. Konsep prinsip Islam macam itu. Reda dengan mungkar, mungkarlah.
“Reda dengan kufur, kufur… masalahnya, ada yang duduk fikir kata (kita) menafikan hak orang bukan Islam?
“Kita tak ada nafi hak apa pun. Tapi kalau benda mungkar ini, Tuhan suruh sekat. Mereka kata orang Melayu, orang Islam tak boleh masuk. Masalah dia, boleh masuk itu, tulis saja tidak dibenarkan, tapi orang masuk, tak ada sekatan. Itu yang jadi isu besar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
