55 aktiviti ditawarkan sepanjang Karnival Putrajaya 2022

55 aktiviti ditawarkan sepanjang Karnival Putrajaya 2022

PUTRAJAYA – Lebih 55 aktiviti ditawarkan pada Karnival Putrajaya 2022 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September ini di Dataran Putrajaya dan perkarangan Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, aktiviti tersebut dapat dilaksanakan hasil kerjasama strategik yang berterusan dengan pihak yang terlibat.

“Antaranya, program Putrajaya berselawat, bazar usahawan, karnival pendidikan dan kerjaya, belon udara panas, pertandingan mewarna, jelajah agenda nasional Malaysia sihat dan banyak lagi.” katanya pada majlis perasmian karnival itu, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Shahidan turut merasmikan Kempen Kebersihan BeST Putrajaya 2022.

Hadir pada majlis, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan), Datuk Ruzain Idris.

Menurut Shahidan, beliau yakin aktiviti-aktiviti riadah sebegini akan mendapat sambutan terutama daripada golongan muda.

Selain itu, tambah beliau, ia dapat meningkatkan sistem penyampaian Perbadanan Putrajaya selaku pihak berkuasa tempatan menerusi penglibatan komuniti.

“Objektif utama kempen adalah untuk memastikan Putrajaya bersih di setiap tempat.

“Antara aktiviti adalah tindakan memperkasa kaedah pencucian di kawasan-kawasan awam yang utama dan aktiviti-aktiviti kebersihan seperti plogging, gotong-royong dan pendidikan kesihatan serta kebersihan tandas.” tambahnya.

Penganjuran Karnival Putrajaya 2022 yang diadakan pada 8 pagi hingga 10 malam itu mendapat sokongan daripada rakan strategik utama iaitu agensi kerajaan, sektor korporat dan swasta serta Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette