Kerbau albino digelar ‘Donald Trump’ terselamat daripada korban Aidiladha

Kerbau albino digelar ‘Donald Trump’ terselamat daripada korban Aidiladha
Kerbau albino digelar ‘Donald Trump’ terselamat daripada korban Aidiladha

Kerbau ‘Donald Trump’ kini dipindahkan ke zoo di Dhaka. Foto Reuters

DHAKA – Seekor kerbau albino yang jarang ditemui di Bangladesh dan digelar ‘Donald Trump’ kerana memiliki jambul perang keemasan tersendiri terselamat daripada dijadikan korban Aidiladha selepas campur tangan saat akhir pihak kerajaan.

Menurut pegawai Kementerian Dalam Negeri Bangladesh pada Rabu, haiwan seberat hampir 700 kilogram itu sebelum ini telah dijual bagi tujuan korban sempena Aidiladha sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan atas faktor keselamatan susulan lonjakan minat orang ramai.

Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Salahuddin Ahmed dilaporkan mengarahkan kerbau berkenaan diselamatkan, wang pembeli dipulangkan semula dan haiwan itu dipindahkan ke zoo nasional di Dhaka.

“Pada saat akhir, keputusan dibuat untuk menyelamatkan kerbau itu daripada dikorbankan berikutan kebimbangan keselamatan serta tahap minat awam yang luar biasa,” kata pegawai kementerian terbabit.

Apa yang pada awalnya hanya urusan pembelian ternakan biasa bertukar menjadi fenomena nasional selepas video kerbau tersebut tular di media sosial.

Orang ramai dilaporkan berpusu-pusu ke ladang ternakan berkenaan dengan sebahagian mereka datang dari kawasan jauh semata-mata mahu melihat jambul perang unik dan sifat jinak haiwan tersebut.

Pemilik ladang, Ziauddin Mridha berkata, nama ‘Donald Trump’ diberikan oleh adiknya yang mendakwa kerbau itu mempunyai persamaan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurutnya, kerbau berkenaan juga sangat tenang dan memerlukan penjagaan rapi termasuk diberi makanan secara berkala serta dimandikan dengan kerap.

Kerbau albino dianggap sangat jarang ditemui di Bangladesh kerana kebanyakan lembu dan kerbau di negara itu berwarna gelap, sekali gus menjadikannya tumpuan utama sepanjang musim jualan ternakan Aidiladha.

Namun, gelaran ‘Donald Trump’ dipercayai menjadi faktor utama yang menyelamatkan nyawa haiwan tersebut. – Agensi

Scroll to Top