yusri.muzamir@bh.com.my
Baca juga: Tips Road Trip Hujung Tahun: Panduan Memandu Jauh
Kuala Lumpur: Jabatan Wilayah Persekutuan sedang memantau kemungkinan mengambil tindakan perundangan ke atas mana-mana pihak memanipulasi isu premium tanah Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, turut meminta semua pihak tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu berhubung isu berkenaan.
Hannah berkata, beliau sudah memberi penjelasan panjang lebar (mengenai isu premium tanah KLSACH), termasuk di Parlimen.
“Bagaimanapun, saya tak boleh buat apa-apa jika masih ada pihak enggan terima (penjelasan berkenaan),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Yeoh bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan merasmikan Inisiatif Pengindahan Taman Permainan Kanak-kanak di Taman Sri Hartamas, di sini.
Isnin lalu, Yeoh dilapor menjelaskan bahawa pengurangan premium tanah kepada kadar nominal RM1,000 bagi KLSCAH dibuat mengikut Kaedah-kaedah Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1995.
Ia dibuat selepas syarat nyata tanah KLSCAH dipinda kepada bangunan institusi sahaja, selain mengambil kira penukaran status tanah kepada pegangan kekal.
Ia selepas rayuan pengurangan premium dikemukakan pada 3 Mac lalu.
Pada 14 November lalu, kerajaan dilapor meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH bagi tempoh 99 tahun dengan premium nominal bernilai RM1,000, berbanding anggaran awal RM4.67 juta.
Pada 14 September lalu, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan dilapor meluluskan penyerahan balik dan pemberi milikan semula tanah berkenaan bagi kegunaan institusi.
Ia mencetuskan gesaan supaya proses penilaian tanah serta justifikasi pengurangan premium itu dijelaskan secara lebih telus.
Bangunan KLSCAH diisytiharkan sebagai bangunan Warisan Kebangsaan pada 2007.
Dalam pada itu, Yeoh memaklumkan sudah memberi kerjasama penuh kepada siasatan kes terbabit yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita sedang menunggu hasil siasatan, selain semua butiran sudahpun diberikan kepada SPRM. Saya juga sudah memberi jawapan isu sama ke Parlimen.
“SPRM boleh rujuk semua info dan butiran berkenaan, selain permohonan (pengurangan premium) dilayan ikut prosedur operasi standard sedia ada Pejabat Tanah dan Galian dan Jawatankuasa Tanah.
“Semua saranan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) juga sudah dimaklumkan kepada Dewan Rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd