am@hmetro.com.my
Baca juga: Tiga anak Kapten AA dalam perjalanan ke Oman beri penghormatan terakhir
Kulim: Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki ketika cuba menangkapnya pada April lalu.
Tertuduh Shahrol Ikram Ahmad Halidin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 32, di hadapan sebuah kedai alat ganti motosikal di Jalan Tunku Putra, di sini, kira-kira 11 pagi, 20 April lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Muhammad Fauzi, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh dengan syarat dia tidak mengganggu saksi pendakwaan, namun peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan.
Peguam tertuduh memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan pendapatan bulanannya hanya RM3,000.
Katanya, tertuduh juga tidak mempunyai alasan untuk melarikan diri memandangkan dia mempunyai keluarga dan berkemungkinan digantung kerja tanpa gaji.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan 10 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Sebelum ini, polis mengesahkan video tular yang memaparkan kejadian tangkapan membabitkan seorang lelaki di hadapan kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, di sini, berkaitan operasi ronda cegah jenayah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, dilaporkan berkata rakaman video yang tular di media sosial berdurasi 29 saat di laman sosial Facebook (FB) itu memaparkan kejadian membabitkan anggota polis dan seorang suspek.
Beliau berkata, dalam rakaman video itu seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd