austin@nst.com.my
Subang Jaya: Dua kilang musnah manakala dua lagi mengalami kerosakan dalam satu kejadian kebakaran lewat malam di Jalan Subang 4, Ultramine Park, di sini, semalam.
Baca juga: Malaysia terbuka tambah acara Sukan SEA 2027
Kebakaran bermula di sebuah kilang perabot sebelum merebak ke kilang peralatan perubatan bersebelahan, menyebabkan kedua-dua premis berkenaan musnah 95 peratus.
Kebakaran itu menyebabkan asap tebal menjulang tinggi ke udara dan boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer dari lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.02 malam.
Katanya, susulan itu seramai 31 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Cyberjaya dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan pertama tiba di lokasi pada jam 11.10 malam dan mendapati empat unit kilang terbakar.
“Anggota bomba bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.56 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata, kebakaran dikesan berpunca daripada sebuah kilang perabot sebelum merebak ke kilang peralatan perubatan berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua kilang terbabit musnah 95 peratus, manakala dua lagi unit kilang yang masih belum dikenal pasti pemilik atau pengendalinya masing-masing mengalami kerosakan 20 peratus dan 10 peratus.
“Kerosakan pada dua unit kilang yang lain itu hanya membabitkan bahagian bumbung,” katanya.
Beliau berkata, kerja pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan setakat jam 3 pagi tadi, terutamanya di dua kilang yang musnah itu.
Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd