farahmarshita@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Urusan dokumentasi pengebumian Allahyarham Akhmal Asyraf, 32, atau lebih dikenali sebagai Kapten AA kini diuruskan pihak berkuasa Oman di Kedutaan Malaysia, pagi ini.
Baca juga: Perampas tinggalkan kapal kargo di perairan Yaman, anggota kru selamat – UKMTO
Pengasas RARETV, Saiful Nang menerusi hantaran di Threads, berkata urusan dokumentasi itu diuruskan seawal jam 6 pagi bagi mempercepatkan urusan pengebumian.
“Mereka mula bekerja awal untuk mempercepatkan urusan pengebumian. Kami harapkan ada kepastian tentang urusan persemadian selewat-lewatnya Isnin.
“Sejurus ada kepastian masa, satu sesi solat jenazah ghaib di Malaysia akan dijalankan di Masjid Putrajaya pada ketetapan waktu dan tarikh yang akan dimaklum,” katanya, hari ini.
Saiful sebelum ini memaklumkan jenazah Kapten AA akan disemadikan di Muscat, namun tarikh dan waktu pengebumian masih menunggu urusan dokumentasi kerajaan Oman.
Terdahulu, media melaporkan Akhmal dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru ketika menjalani penggambaran program Kembara Wahyu 2027 di Oman.
Menurut laporan berkenaan, Allahyarham pada mulanya menerima rawatan di Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk rawatan lanjut.
Akhmal ditidurkan dan menjalani prosedur intubasi selepas mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham berada di Oman bersama pasukan produksi bagi menjayakan rakaman program yang dijadualkan berlangsung selama 14 hari dan dilaporkan sudah memasuki hari keenam penggambaran.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.58 petang waktu Oman (10.58 malam waktu Malaysia) 27 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd