SEMANGKUK sup tradisional Jepun sudah cukup untuk mencetuskan penemuan yang mengubah dunia masakan lebih seabad lalu.Pada 1907, ketika menikmati tauhu rebus dalam sup yang diperbuat daripada rumpai laut kombu, seorang profesor kimia Jepun, Dr Kikunae Ikeda tertarik dengan rasa unik hidangan berkenaan.Beliau tertanya-tanya mengapa kelazatan sup itu tidak dapat dijelaskan melalui empat rasa asas yang diketahui ketika itu iaitu manis, masin, masam dan pahit.Persoalan tersebut akhirnya membawa kepada penemuan umami atau rasa kelima, sekali gus menarik minat seorang usahawan Jepun, Saburosuke Suzuki II untuk mengkomersialkannya.Daripada kerjasama dua lelaki itulah lahirnya Ajinomoto, jenama bahan perasa yang kini begitu sinonim dengan dapur masyarakat Asia dan dunia.Pengalaman menuntut ilmu di Jerman turut mempengaruhi minatnya terhadap penyelidikan pemakanan. Beliau mahu mencari jalan meningkatkan kualiti makanan masyarakat Jepun.Pada 1907 juga, Ikeda memulakan kajian terhadap rumpai laut kombu sebelum berjaya mengenal pasti asid glutamik sebagai bahan yang menghasilkan rasa kelazatan tersebut pada 1908.Bukan mudah untuk mendapatkan bahan tersebut kerana Ikeda menggunakan kira-kira 12 kilogram rumpai laut kombu sebelum berjaya mengekstrak hanya 30 gram sebatian yang menghasilkan rasa umami.Beliau kemudian memperkenalkan istilah ‘umami’ bagi menggambarkan rasa kelima yang ditemuinya.Penemuan itu bukan sekadar pencapaian dalam bidang kimia, malah membuka peluang menghasilkan bahan perasa yang boleh digunakan secara meluas dalam masakan.Namun, Ikeda menyedari penemuan saintifik memerlukan sokongan dunia perniagaan untuk sampai kepada masyarakat.Sumber kelazatanSuzuki, seorang usahawan yang mempunyai latar belakang perniagaan keluarga melihat potensi besar penemuan Ikeda. Kedua-duanya bekerjasama membangunkan pengeluaran monosodium glutamate (MSG) sebagai bahan perasa makanan.Hasil kerjasama itu menyaksikan produk AJI-NO-MOTO mula dipasarkan pada 20 Mei 1909.Nama tersebut membawa maksud ‘Inti Pati Rasa’ atau ‘Sumber Kelazatan’, mencerminkan tujuan asal penemuan berkenaan.”Terdapat satu rasa tersendiri yang sama dalam asparagus, tomato, keju dan daging, yang tidak boleh dikategorikan sebagai manis, masam, masin atau pahit,” kata Ikeda ketika membentangkan penemuannya pada Kongres Kimia Gunaan Antarabangsa kelapan pada 1912.Bagi Ikeda, beliau berjaya membuktikan bahawa kelazatan makanan mempunyai asas saintifik. Bagi Suzuki pula, beliau membuktikan penemuan makmal mampu diterjemahkan menjadi peluang perniagaan berskala besar.Perjalanan mereka akhirnya meletakkan asas kepada perkembangan Kumpulan Ajinomoto sebagai sebuah syarikat makanan global.Ikeda meninggal dunia pada 1936 manakala Suzuki meninggalkan legasi keusahawanan yang terus berkembang melalui syarikat berkenaan.Kisah dua tokoh ini membuktikan perubahan besar tidak semestinya bermula dengan cita-cita menakluk dunia.
Dua tokoh, satu ramuan istimewa bentuk legasi Ajinomoto
Malay News | https://www.malay.news/dua-tokoh-satu-ramuan-istimewa-bentuk-legasi-ajinomoto/