LATEST
National

Agenda perangi rasuah tiada makna jika wang boleh beli amanah

Agenda perangi rasuah tiada makna jika wang boleh beli amanah

DALAM mempertahankan keselamatan negara, kita sering membayangkan ancaman datang daripada pencerobohan sempadan, serangan ketenteraan, keganasan atau campur tangan kuasa asing.

Baca juga: Gempa bumi bermagnitud 6.2 landa pesisir Kamchatka, Russia

Namun, ada satu musuh yang tidak memerlukan senjata untuk melemahkan negara, malah mampu meruntuhkan kekuatan institusi dari dalam, iaitu rasuah.

Ancaman ini lebih berbahaya kerana boleh bersembunyi di sebalik jawatan, pangkat, kuasa dan kedudukan seseorang. Tanpa disedari, mereka diberikan amanah untuk mempertahankan negara boleh menjadi punca kelemahan apabila sanggup menggadaikan tanggungjawab demi kepentingan peribadi.

Sebab itu, rasuah tidak seharusnya dilihat sekadar jenayah kewangan atau salah laku individu, sebaliknya perlu diiktiraf sebagai ancaman strategik terhadap keselamatan negara.

Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026-2030 yang memperkenalkan pendekatan keselamatan secara menyeluruh dan bersepadu wajar diberikan perhatian.

Dasar ini menggariskan 10 Bidang Tumpuan Strategik (BTS), meliputi kedaulatan dan keutuhan wilayah, kesepaduan nasional, kestabilan sosiopolitik, tata kelola berkesan, keutuhan ekonomi, keadilan sosial, pembangunan mampan, keselamatan rakyat, diplomasi keselamatan dan kerjasama serantau serta keselamatan siber dan teknologi.

Kesemua bidang ini disokong 30 strategi melalui pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS), yang menekankan kerjasama seluruh kerajaan dan masyarakat.

Pengiktirafan tata kelola berkesan sebagai satu daripada bidang strategik keselamatan negara menunjukkan kekuatan Malaysia bukan hanya bergantung kepada keupayaan tentera dan agensi penguatkuasaan, tetapi turut ditentukan integriti pentadbiran serta institusi awam.

Hakikatnya, rasuah boleh melemahkan kesemua 10 bidang strategik berkenaan. Dalam aspek keselamatan sempadan misalnya, pegawai mudah dibeli boleh membuka laluan kepada penyeludupan, pencerobohan dan kemasukan individu secara tidak sah.

Apa gunanya sistem kawalan sempadan bernilai berbilion ringgit jika pegawai yang mengendalikannya boleh menerima sogokan. Apa ertinya peralatan pertahanan canggih jika proses perolehannya dicemari penyelewengan.

Undang-undang yang tegas juga kehilangan kekuatan apabila penguatkuasaannya boleh dipengaruhi wang, kedudukan atau hubungan politik.

Lebih membimbangkan, rasuah turut menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi awam. Ketirisan kewangan meningkatkan kos pembangunan, manakala bantuan serta peluang ekonomi berisiko disalurkan berdasarkan hubungan, bukannya kelayakan.

Dalam pengurusan sumber asli pula, rasuah boleh membuka ruang kepada pembalakan haram, pencemaran dan eksploitasi alam sekitar.

Ancaman sama boleh menjejaskan penguatkuasaan jenayah, kredibiliti diplomatik serta keselamatan maklumat strategik negara. Jelaslah, rasuah bukan isu boleh diletakkan di bawah satu bidang tata kelola semata-mata, sebaliknya perlu ditangani sebagai ancaman merentas keseluruhan pelaksanaan DKN.

Justeru, usaha pencegahan perlu bermula dengan mengenal pasti sektor dan proses pentadbiran berisiko tinggi, khususnya pertahanan, imigresen, kastam, kawalan sempadan, perolehan kerajaan, pengurusan sumber asli serta infrastruktur kritikal. Tindakan tidak seharusnya hanya diambil selepas penyelewengan berlaku dan kerugian negara terpaksa ditanggung.

Antara langkah boleh dipertimbangkan kerajaan ialah mengiktiraf rasuah sistemik sebagai ancaman strategik keselamatan negara, selain membangunkan Indeks Risiko Rasuah Keselamatan Negara dan melaksanakan pemetaan risiko dalam institusi penting.

Perkukuh strategi perangi rasuah

Pada masa sama, perisikan pencegahan rasuah dalam agensi keselamatan perlu diperkukuh, manakala perolehan strategik kerajaan mesti tertakluk kepada ketelusan dan pengawasan bebas.

Perlindungan pemberi maklumat, petunjuk prestasi integriti kepemimpinan agensi serta kerjasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan juga perlu dipertingkatkan.

Laporan tahunan kemajuan tata kelola DKN wajar diterbitkan, tertakluk kepada keperluan kerahsiaan yang sah. Pembabitan masyarakat sivil pula perlu diinstitusikan supaya usaha memerangi rasuah tidak hanya bergantung kepada kerajaan.

Dalam hal ini, pendekatan WOGOS amat penting. Mempertahankan negara bukan tanggungjawab eksklusif tentera, polis, SPRM atau MKN.

Media, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, komuniti agama dan rakyat juga mempunyai peranan membina budaya integriti.

Pada masa sama, alasan keselamatan negara tidak boleh dijadikan pelindung menyembunyikan penyelewengan atau menyekat pendedahan salah laku melalui saluran yang sah. Ketelusan dan akauntabiliti tetap perlu dipelihara.

Akhirnya, kejayaan DKN 2026-2030 tidak seharusnya dinilai berdasarkan keindahan dokumen, jumlah strategi atau banyaknya program dilaksanakan.

Ukuran sebenar ialah sejauh mana risiko rasuah dapat dikurangkan, ketirisan dibendung, institusi diperkukuh dan keyakinan rakyat dipulihkan.

Kita mungkin mampu membina tembok pertahanan yang kukuh, membeli kelengkapan keselamatan tercanggih dan memperketat kawalan sempadan. Namun, semua itu tidak membawa makna jika amanah mereka yang menjaga negara boleh dibeli dengan wang.

Rasuah bukan sekadar mencuri wang rakyat. Ia mengkhianati amanah, melemahkan kedaulatan dan menggadaikan masa depan negara. Memerangi rasuah bukan pilihan, tetapi sebahagian daripada perjuangan mempertahankan Malaysia.

Penulis ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news