TERDAPAT berbagai hadis yang menyebut tentang ciri-ciri ahli syurga dan ahli neraka. Ciri-ciri ini disampaikan oleh Nabi SAW kepada kita tentunya supaya kita mengetahui apa yang perlu diteladani dan apa yang wajib dihindari.
Baca juga: Gempa bumi bermagnitud 6.2 landa pesisir Kamchatka, Russia
Antaranya, hadis daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, daripada Nabi SAW sabdanya: “Pernah syurga dan neraka saling berhujah. Neraka berkata: ‘Akan masuk ke dalamku orang-orang yang zalim dan orang-orang yang sombong lagi takbur’. Manakala syurga pula berkata: ‘Akan masuk ke dalamku orang-orang Muslim yang lemah dan miskin’. Lalu, Allah membuat ketetapan dengan berfirman: ‘Sesungguhnya kamu wahai syurga adalah rahmat-Ku, Aku akan merahmati sesiapa yang Aku kehendaki denganmu. Dan sesungguhnya kamu wahai neraka adalah azab-Ku, Aku akan mengazab sesiapa yang Aku kehendaki denganmu. Dan bagi tiap-tiap kamu berdua, Akulah yang bertanggungjawab untuk memenuhkannya.” (Riwayat Muslim)
Hadis ini bermaksud, kebanyakan ahli syurga itu ialah golongan beriman yang lemah dan miskin. Namun, ia bukan semata-mata kerana kelemahan dan kemiskinan mereka secara zahir, tetapi kerana sifat mereka yang kebiasaannya lebih tunduk, patuh, rendah hati (tawaduk), sabar dan tidak bersikap sombong di atas muka bumi.
Ini secara tidak langsung menunjukkan kemuliaan golongan beriman yang lemah dan miskin dengan pengertian di atas. Manakala ahli neraka pula ialah golongan yang bersifat zalim, kasar, angkuh dan sombong, terutama dalam menolak kebenaran dan memandang rendah sesama manusia.
Ini secara jelas menunjukkan betapa bahayanya perbuatan zalim dan sombong yang merupakan antara sifat utama yang mampu mengheret pelakunya dalam neraka.
Dalam hadis berkenaan juga Allah SWT menegaskan bahawa syurga adalah manifestasi rahmat-Nya, manakala neraka pula adalah manifestasi azab-Nya. Dia juga telah menetapkan bahawa kedua-dua tempat ini akhirnya akan dipenuhi dengan penghuninya masing-masing mengikut amalan dan ketetapan-Nya.
Antara hadis lain yang menyebut tentang ciri-ciri ahli syurga dan ahli neraka, hadis daripada Harithah bin Wahb RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku khabarkan kamu tentang penghuni syurga? Iaitu setiap orang yang lemah lagi dianggap lemah oleh orang lain, yang sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memperkenankannya. Mahukah aku khabarkan kamu tentang penghuni neraka? Iaitu setiap orang yang kasar, zalim lagi angkuh.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA pula pernah membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: “Orang yang sangat menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum hakam agama, yang banyak berdosa, yang keras kasar, selain dari itu juga terkenal kejahatannya” (al-Qalam: 12-13). Lalu, beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Penghuni neraka itu adalah setiap orang yang keras lagi kasar, rakus lagi zalim, angkuh lagi sombong, dan suka mengumpulkan harta (namun kedekut). Manakala penghuni syurga adalah orang-orang yang lemah lagi tertindas.” (Riwayat al-Hakim, katanya: Sahih menurut syarat Muslim. Demikian juga pendapat az-Zahabi)
Sebagaimana telah dijelaskan, sifat ahli syurga yang disebutkan ini bukan semata-mata kerana kelemahan mereka secara zahir, tetapi merujuk kepada sifat rendah hati (tawaduk), sederhana dan tidak mementingkan kemegahan dunia.
Terdapat dalam hadis ini sifat tambahan yang tiada dalam hadis sebelumnya, iaitu ‘dianggap lemah oleh orang lain’, yang bermaksud mereka sering dipandang sepi atau dihina oleh masyarakat kerana kekurangan harta atau kedudukan sosial mereka. Namun, di sisi Allah SWT, mereka mempunyai kedudukan yang sangat mulia dan luar biasa.
Ini ditunjukkan dengan pernyataan hadis, sekiranya mereka bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan menunaikannya. Juga bermaksud jika mereka memohon sesuatu dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah akan mengabulkannya. Ini membuktikan betapa dekat dan makbulnya doa mereka di sisi Allah SWT.
Antara contoh tepat mereka yang memiliki ciri-ciri ini dan dapat kita teladani ialah para sahabat RA yang sentiasa berdamping dan berjuang bersama-sama Nabi SAW.
Berbeza dengan sifat ahli neraka yang berwatak keras, kasar, degil dan suka menganiaya orang lain. Orang seperti ini suka mengumpul harta secara tamak dan bakhil, serta berjalan dengan penuh sombong dan takbur.
Di samping suka bersikap angkuh, memandang rendah kepada orang lain dan mudah menolak kebenaran atau nasihat yang diberikan.
Semua ciri ini pastinya menjadikan seseorang itu layak untuk menjadi calon penghuni neraka. Antara contoh jelas mereka yang memiliki ciri-ciri ini dan dapat kita jadikan iktibar ialah kaum kafir musyrikin yang sentiasa membenci dan memusuhi Nabi SAW.
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor (UIS)
© New Straits Times Press (M) Bhd