Seoul: Seorang pelajar lelaki sekolah menengah di Korea Selatan digantung persekolahan dan diarahkan bertukar kelas selepas tertangkap membuang air kecil ke dalam botol air milik rakan sekelas perempuan, lapor The Korea Herald.
Baca juga: Nadyatul tak kekok galas tugas pengurus
Menurut Pejabat Pendidikan Gyeongsangnam-do pada 26 November lalu, kejadian yang berlaku pada 21 September di sebuah sekolah di Gimhae, wilayah Gyeongsang Selatan itu turut menyebabkan mangsa mengambil keputusan meninggalkan sekolah berkenaan.
Susulan kejadian itu, Pejabat Pendidikan Daerah Gimhae yang menyelia sekolah terbabit menubuhkan jawatankuasa keganasan sekolah bagi menyiasat kes berkenaan.
Pada 30 Oktober lalu, jawatankuasa itu mengarahkan pelajar lelaki terbabit menjauhi mangsa, menjalani penggantungan persekolahan dan bertukar kelas.
Pelajar perempuan terbabit adalah satu-satunya mangsa dalam kes itu. Jawatankuasa turut menetapkan langkah perlindungan untuknya termasuk kaunseling psikologi dan pertukaran kelas untuknya.
Bagaimanapun, mangsa meninggalkan sekolah berkenaan pada 11 November lalu.
Pejabat pendidikan wilayah itu berdepan kritikan kerana langkah yang diambil didakwa tidak mencukupi selain timbul dakwaan seorang penyiasat dari pejabat pendidikan daerah mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap mangsa.
Sebagai maklum balas, pejabat pendidikan wilayah itu menjelaskan bahawa Pejabat Pendidikan Daerah Gimhae sudah berusaha mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi mangsa, namun kesal dengan keputusan pelajar perempuan itu meninggalkan sekolah berkenaan.
Pejabat itu turut mempertahankan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap pelajar lelaki itu dengan menjelaskan bahawa hukuman pertukaran kelas akan kekal dalam rekod sekolah sehingga empat tahun selepas tamat pengajian.
Rekod berkenaan juga berpotensi menjejaskan peluangnya melanjutkan pengajian ke kolej dan mendapatkan pekerjaan.
Di Korea Selatan, pertukaran kelas dikategorikan sebagai hukuman atas kelakuan salah laku walaupun perbuatan yang membawa kepada tindakan itu tidak dinyatakan dalam rekod pelajar.
Pejabat pendidikan wilayah itu turut mengakui mengetahui dakwaan bahawa kenyataan penyiasat terbabit menyebabkan mangsa mengalami ketidakselesaan fizikal, namun tidak mendedahkan butiran kenyataan berkenaan.
Sementara itu, polis melancarkan siasatan terhadap pelajar lelaki terbabit selepas menerima laporan daripada seorang guru sekolah berkenaan yang mendakwa dia menyerang dan mencederakan mangsa.
Bagaimanapun, polis enggan mengulas lanjut berhubung kes itu atas alasan sensitiviti.
© New Straits Times Press (M) Bhd