LATEST

Dua himpunan di ibu negara berlangsung aman

Dua himpunan di ibu negara berlangsung aman

hafidzul@hmetro.com.my

Baca juga: Izzati sertai ibu bapa, tiga adik-beradik bergelar doktor

Kuala Lumpur: Dua himpunan yang berlangsung serentak di pusat bandar raya pada Sabtu, berjalan dalam keadaan aman dan terkawal meskipun terdapat sedikit ketegangan apabila kedua-dua kumpulan bertembung.

Perhimpunan yang bermula antara jam 1 tengah hari hingga 4.30 petang tadi membabitkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 anjuran Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) di hadapan Kompleks Sogo serta Himpunan Daulat Tuanku anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) di hadapan bangunan Kamdar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, suasana agak tegang antara 3.10 hingga 3.20 petang apabila peserta himpunan di SOGO mula berarak menuju ke Dataran Merdeka dan bertembung dengan kumpulan di hadapan bangunan Kamdar.

“Ketegangan itu bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui tindakan kawalan keselamatan yang sewajarnya.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, kedua-dua himpunan yang dihadiri kira-kira 140 peserta bersurai secara aman masing-masing pada 3.50 petang dan 4.30 petang.

“Sepanjang himpunan berlangsung, seramai 16 wakil peserta menyampaikan ucapan membabitkan sembilan individu daripada kumpulan di Sogo dan tujuh daripada kumpulan di Kamdar.

“Sebelum himpunan berlangsung, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sudah menerima notis pemakluman daripada kedua-dua penganjur iaitu HARAM pada 26 November lalu dan PEKIDA Wilayah pada 27 November,” katanya.

Ahmad Azwan berkata, seramai 129 anggota polis terdiri daripada 19 Pegawai Kanan Polis (PKP) dan 110 Pegawai Rendah Polis (PRP) daripada IPD Dang Wangi serta bantuan kekuatan anggota KL Strike Force diatur gerak bagi pelaksanaan Op Aman untuk mengawal keselamatan di lokasi.

“Secara keseluruhan, kedua-dua himpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, peserta serta orang ramai atas kerjasama yang diberikan sehingga kedua-dua himpunan ini berlangsung dengan lancar,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0522 atau 03-2146 0585, Pusat Kawalan Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news