KUALA LUMPUR: Polis berjaya mengawal keadaan sepenuhnya, meskipun berlaku pertembungan antara dua kumpulan yang mengadakan himpunan secara serentak di ibu negara semalam.
Kedua-dua himpunan berasingan itu berlangsung di hadapan Sogo dan sebuah bangunan pusat beli-belah berhampiran bermula pukul 1 tengah hari hingga 4.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Baca juga: Izzati sertai ibu bapa, tiga adik-beradik bergelar doktor
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, himpunan di hadapan Sogo dianjurkan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram).
Satu lagi di hadapan bangunan pusat beli-belah berdekatan dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Menurutnya, peserta himpunan di Sogo mula berarak menuju ke Dataran Merdeka pada pukul 2.30 petang sebelum kedua-dua kumpulan bertembung di hadapan bangunan pusat beli-belah berkenaan antara pukul 3.10 petang hingga 3.20 petang.
“Polis mengambil tindakan kawalan keselamatan sewajarnya bagi memastikan keadaan kekal terkawal.
“Kedua-dua himpunan berakhir dengan aman apabila kumpulan di hadapan pusat beli-belah berkenaan bersurai pada pukul 3.50 petang manakala kumpulan Sogo menamatkan himpunan di Dataran Merdeka pada pukul 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan peserta bagi kedua-dua himpunan dianggarkan seramai 140 orang iaitu 60 peserta di hadapan Sogo dan 80 peserta di lokasi pusat beli-belah berkenaan.
“Seramai 16 wakil peserta turut menyampaikan ucapan, membabitkan sembilan wakil daripada kumpulan Sogo dan tujuh wakil daripada kumpulan di hadapan pusat beli-belah terbabit,” jelasnya.
Ahmad Azwan berkata, pihaknya menerima notis pemakluman daripada Haram pada 26 November lalu manakala Pekida Wilayah Persekutuan pada 27 November.
“Seramai 129 anggota polis, termasuk 19 pegawai kanan dan 110 pegawai rendah polis ditugaskan menerusi Op Aman bagi memastikan keselamatan sepanjang kedua-dua himpunan berlangsung.
“Penugasan itu turut membabitkan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta bantuan kekuatan anggota KL Strike Force,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, peserta dan orang ramai atas kerjasama yang diberikan sehingga kedua-dua himpunan berlangsung dalam keadaan aman dan lancar. – UTUSAN
The post Tiada insiden tidak diingini babit dua himpunan di ibu negara appeared first on Utusan Malaysia.