LATEST
National

Segala usaha sedang dibuat pulihkan bekalan elektrik Sabah – Hajiji

Segala usaha sedang dibuat pulihkan bekalan elektrik Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menzahirkan perasaan kesal atas kesukaran dialami penduduk di Pantai Timur negeri ini akibat gangguan bekalan elektrik.

Baca juga: Kertas Soalan SPM Didakwa Dijual RM500 Di Telegram

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata segala usaha sedang dilakukan bagi memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Katanya, Sabah Electricity sedang berusaha sedaya upaya bagi memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat runtuhan menara penghantaran elektrik.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan semula menara itu dijangka siap dalam tempoh enam hari, sekali gus membolehkan bekalan elektrik dipulihkan sepenuhnya.

Katanya, runtuhan menara penghantaran elektrik itu berpunca daripada bencana alam dan bukan disebabkan perbuatan khianat.

Beliau berkata, penduduk di kawasan terjejas kini menerima bekalan elektrik menerusi sumber kuasa sokongan dan set jana kuasa sementara, walaupun ada beberapa kawasan masih mengalami kekurangan bekalan.

“Mungkin masih ada beberapa kawasan yang mengalami kekurangan bekalan, namun Sabah Electricity akan melakukan segala usaha untuk mengatasi keadaan itu demi penduduk kita di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-28, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada usaha jangka panjang bagi memperkukuhkan bekalan elektrik Sabah melalui pembangunan pelbagai sumber tenaga boleh baharu.

“Kita sudah meluluskan kapasiti tenaga hampir 3,000 megawatt di Sabah, termasuk projek hidro mini, tenaga solar dan turbin angin.

“Lebih 1,000 megawatt kapasiti tambahan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang, manakala baki kapasiti berkenaan akan tersedia menjelang 2030,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepat usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah susulan runtuhan menara penghantaran elektrik T313 di Ranau.

Perdana Menteri turut meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal, khususnya bagi membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news