KUALA LUMPUR: Peluang pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk memulakan perlumbaan akhir Moto3 musim 2026 dari kelompok hadapan tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati bermula dari petak ke-15 pada Grand Prix (GP) Valencia, esok.
Baca juga: Selangor rampas takhta Liga Super dari JDT
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu pada awalnya mencatat masa yang membolehkannya menduduki tempat kesembilan dalam sesi kelayakan kedua (Q2), namun catatan berkenaan dibatalkan kerana dilakukan selepas bendera merah dikibarkan.
Keputusan itu menyaksikan Hakim akhirnya diletakkan di petak ke-15 dengan catatan masa 1 minit 37.430 saat di Litar Ricardo Tormo, ketinggalan 1.492 saat berbanding pelumba terpantas, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang merekodkan 1:35.938 saat untuk meraih petak utama.
Cabaran Hakim turut terjejas selepas terbabit dalam insiden terjatuh pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) yang menyaksikan tunggangannya terhenti selepas hanya lima pusingan namun pelumba kelahiran Terengganu itu tidak mengalami kecederaan.
Dia sebelum itu menunjukkan prestasi positif apabila menduduki tempat kelima dalam FP1 dengan catatan 1:37.817 saat, sebelum mengesahkan kemaraan terus ke Q2 menerusi sesi latihan pada Jumaat.
Ketika ini, pelumba negara itu berada di tangga kesembilan kejuaraan dengan 125 mata, hanya dua mata di belakang pelumba di kedudukan kelapan, Perrone, manakala berkelebihan 12 mata berbanding Rico Salmela di tempat ke-10.
© New Straits Times Press (M) Bhd