Pengorbanan dan jasa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan negara tidak pernah dilupakan apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkasakan pelbagai inisiatif bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari hari ini meneruskan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) di sekitar Matang, Petra Jaya, Santubong dan Bako, Sarawak bagi menyantuni veteran ATM serta keluarga mereka.
Baca juga: Pekerja Amazon di 20 negara lancar mogok, protes
Turun padang santuni veteran ATM
Menerusi program anjuran Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) itu, Adly mengadakan lawatan ke 15 kediaman melibatkan 11 veteran ATM, tiga balu dan seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau turut menyantuni veteran yang uzur dan menghidap penyakit kronik, selain meninjau keperluan bantuan kesihatan serta kebajikan keluarga mereka.
Pendekatan turun padang itu membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar mengikut keperluan golongan berkenaan.
RM140.77 juta manfaatkan 18,561 penerima
Menerusi kenyataan media MINDEF, sehingga 30 Oktober 2026, sebanyak RM140.77 juta telah dibelanjakan menerusi Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memanfaatkan 18,561 penerima.
Pada masa sama, sebanyak RM6.4 juta disalurkan melalui Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada 5,030 penerima, sekali gus membantu meringankan beban kewangan veteran ATM dan keluarga mereka.

Selain itu, RM109.94 juta dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan perubatan kepada veteran ATM berpencen dan tidak berpencen.
Sebanyak RM7.96 juta turut dibelanjakan bagi inisiatif baik pulih dan bina baharu rumah yang memberi manfaat kepada 397 penerima.
Penyediaan bantuan secara bersepadu ini mencerminkan kesungguhan MINDEF dalam meningkatkan kualiti hidup komuniti veteran ATM
270 veteran ATM disantuni sepanjang 2026
Sementara itu, pelaksanaan PVM di Sarawak kali ini melengkapkan 15 siri program sepanjang tahun 2026 yang menyaksikan seramai 270 veteran ATM disantuni di seluruh negara.

MINDEF turut komited untuk meneruskan dan menambah baik inisiatif kebajikan veteran pada tahun 2027 menerusi pendekatan lebih responsif bagi memastikan kesejahteraan bekas perwira negara serta keluarga mereka terus terbela.
Usaha tersebut selaras dengan Teras 7 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030.