Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menafikan dakwaan bahawa peserta Kursus Praperkahwinan Islam di negeri itu diwajibkan lulus peperiksaan bagi mendapatkan sijil kursus berkenaan mulai tahun hadapan.
Baca juga: Pindaan Akta Orang Asli akan diperhalusi – Ahmad Zahid
Pengarahnya Datuk Mohd Radzi Mohd Amin berkata JAINJ menerusi Bahagian Undang-Undang Syariah hanya merancang untuk melaksanakan penilaian berbentuk soalan objektif bagi mengukur tahap kefahaman peserta.
Beliau berkata semua peserta tetap akan menerima sijil kursus berkenaan tanpa mengira markah yang diperoleh dalam penilaian itu.
“Semua peserta akan terima sijil termasuk yang dapat penilaian rendah… semuanya lulus, kita pun tak berniat nak memalukan peserta yang lemah malah tujuan kita nak membantu mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata penilaian itu bertujuan membantu peserta mengenal pasti tahap kefahaman masing-masing terhadap ilmu yang diperoleh sepanjang kursus sebagai persediaan untuk mendirikan rumah tangga.
“Matlamat utama kita nak membantu peserta agar mereka mempunyai ilmu nikah kahwin dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Kami nak bantu agar semua pasangan pengantin baru kekal ke jannah,” katanya.
Mohd Radzi berkata JAINJ akan memberikan taklimat mengenai pelaksanaan penilaian itu kepada 16 syarikat yang diberi permit untuk menganjurkan kursus berkenaan di Johor tahun hadapan.
Kursus itu merupakan antara syarat bagi pasangan Islam untuk memohon kebenaran berkahwin.
Antara topik yang dibincangkan termasuk prosedur perkahwinan, tanggungjawab dan komunikasi suami isteri, pengurusan kewangan, kesihatan, pengurusan stres dan konflik serta pembubaran perkahwinan, selain prosedur akad nikah dan walimatulurus.
Sebelum ini, tular hantaran di media sosial yang mendakwa Johor akan mewajibkan peserta kursus berkenaan menduduki peperiksaan dan hanya peserta yang lulus akan diberikan sijil.
© New Straits Times Press (M) Bhd