Munich: Isteri penjaga gol Bayern Munich, Manuel Neuer, Anika meluahkan kekecewaan dan kemarahan menerusi media sosial susulan dakwaan suaminya menjalinkan hubungan sulit ketika dia sedang hamil.
Baca juga: Kim Swee pertahan jawatan
Media Jerman melaporkan pasangan itu berpisah tidak lama selepas menyambut kelahiran anak kedua mereka pada Ogos lalu.
Legenda bola sepak Jerman berusia 40 tahun itu kemudian dirakam berada di Brazil bersama seorang wanita yang tidak dikenali. Menurut laporan Bild, wanita berusia 23 tahun itu dipercayai seorang ahli fisioterapi yang pernah bekerja dengannya.
Neuer ke Amerika Selatan selepas mengalami kecederaan koyakan separa tendon di kaki kanannya ketika aksi Bundesliga menentang Mainz pada 7 November lalu.
Laporan media Jerman turut mendakwa Neuer dan wanita muda berkenaan pernah menghabiskan masa bersama di Sicily pada penghujung September lalu.
Anika, 26, bekas pemain bola baling profesional yang menggunakan nama keluarga Bissel sebelum berkahwin, tampil bersuara selepas dakwaan berkenaan tular.
Dia memuat naik semula satu kenyataan yang menyelar tindakan lelaki berlaku curang terhadap wanita yang sedang mengandung.
“Curang terhadap wanita yang sedang hamil adalah satu tahap kejahatan yang berbeza. Bayangkan melihat wanita yang sedang mengandungkan anak sendiri, menyaksikan perubahan tubuhnya, melihat dia bergelut, keletihan dan melalui segala kesukaran sepanjang kehamilan, namun masih tergamak mengkhianatinya di belakang.
“Dia sedang mengandungkan anak kamu, sedangkan kamu sibuk menjalinkan hubungan dengan wanita lain.
“Seorang wanita yang sepatutnya berasa disayangi, dilindungi dan mendapat sokongan, sebaliknya terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan kamu.
“Itu bukan satu kesilapan. Itu satu pilihan. Pilihan yang mementingkan diri, tidak berhati perut dan tidak menghormati pasangan.
“Jika kamu sanggup mengkhianati wanita yang sedang mengandungkan anak sendiri, terutama ketika dia paling memerlukan kamu, itu bukan sekadar menunjukkan kamu tidak setia, malah tidak mempunyai nilai kemanusiaan dan rasa hormat. MENJIJIKKAN,” menurut kenyataan itu.
Manuel dan Anika dikurniakan dua cahaya mata lelaki.
Anak sulung mereka, Luca, dilahirkan pada Mac 2024, manakala nama anak kedua belum didedahkan kepada umum.
Anika pada 2025 mengumumkan keputusan untuk berehat daripada bola baling profesional bagi memberikan tumpuan kepada keluarga.
“Keputusan ini amat sukar untuk saya. Saya sangat menyukai pasukan ini dan seronok bermain bersama rakan-rakan sepasukan.
“Saya tidak menganggap keputusan berehat ini sebagai pengakhiran karier bola baling, sebaliknya hanya mahu meluangkan lebih banyak masa bersama anak lelaki saya.
“Saya pasti akan merindui rakan sepasukan dan sukan bola baling. Jadi, saya mahu menikmati sepenuhnya baki perlawanan dan menamatkan musim hebat ini dengan cara terbaik,” katanya.
Media sudah menghubungi Neuer untuk mendapatkan komen berhubung dakwaan itu, namun belum menerima sebarang maklum balas setakat laporan ini ditulis.
© New Straits Times Press (M) Bhd