LATEST

Celik kewangan perlu dipupuk dari kecil elak lahir generasi boros – PM

Celik kewangan perlu dipupuk dari kecil elak lahir generasi boros – PM

am@hmetro.com.my

Baca juga: Mental kental, Syasya buru emas

Kuala Lumpur: Kecelikan kewangan perlu dipupuk dalam kalangan anak muda sejak usia kecil bagi membentuk generasi yang bijak mengurus wang dan tidak mudah menyalahgunakan amanah apabila diberi tanggungjawab pada masa depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kegagalan mendidik generasi muda mengenai kepentingan menabung dan mengurus kewangan sejak awal boleh menyebabkan mereka membesar tanpa disiplin kewangan, sekali gus berisiko mengkhianati amanah yang diberikan.

“Kecelikan kewangan (jika) tidak dilatih, bila dewasa diberi amanah, dirompaknya kekayaan,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Muda; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk penubuhan PNB serta inisiatif tambahan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) bagi menggalakkan peningkatan jumlah simpanan, sekali gus membolehkan pulangan pelaburan ditingkatkan.

“Dan kita tumpu kepada anak-anak, dalam kalangan muda, belajar menabung kerana kecil-kecil tidak menabung, tak diajar untuk cermat, bila dewasa dia boros.

“Kita tahu nilai simpanan, nilai wang. Dari awal, mahu selamatkan diri dan keluarga, belajar untuk cermat dan berhemat,” katanya.

Anwar berkata, masyarakat juga perlu dididik untuk tidak mudah terpengaruh dengan iklan sehingga terdorong membeli sesuatu tanpa mengambil kira kemampuan kewangan, termasuk sanggup berhutang untuk memenuhi kehendak.

Beliau turut merujuk Teori ‘Conspicuous Consumption oleh Thorstein Veblen’ yang menggambarkan kecenderungan berbelanja bagi menunjukkan status atau kemampuan, walaupun seseorang tidak mempunyai wang mencukupi.

Dalam pada itu, Anwar berkata, seramai 280,000 pelajar sudah menyertai program Celik MADANI sehingga Oktober lalu, sejak dilancarkan pada 2024.

Katanya, Kelab Pelaburan Bijak PNB pula menjangkau lebih 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001.

Katanya, beliau mencabar usaha memperluaskan penyertaan pelajar dalam program berkenaan supaya lebih ramai anak muda mendapat pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan amalan menabung.

“Jadi saya nak gunakan angka ini nak cabar anak-anak, boleh tak tambah jumlah ini? Boleh tak kita tambah usaha anak-anak menabung supaya jumlah itu melebihi daripada apa yang direncanakan,” katanya.

Beliau berkata, kecelikan kewangan juga perlu berkembang kepada kecelikan ekonomi dan budaya bagi melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab serta memahami kepentingan mengurus sumber kewangan dengan baik.

Seiring usaha itu, PNB dan ASNB memperuntukkan lebih RM6.5 juta bagi memperkukuh pendidikan kewangan serta pembangunan masyarakat menerusi gerakan ‘Kita Generasi Labur’ sempena MSAM 2026.

Daripada jumlah itu, RM5 juta disalurkan untuk meneruskan program Celik MADANI kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara, manakala RM1 juta diperuntukkan bagi memperkukuh Kelab Pelaburan Bijak PNB yang membabitkan 500 sekolah.

Sementara itu, Raja Arshad berkata, pemilihan Presint Merdeka 118 sebagai lokasi MSAM 2026 amat bertepatan kerana lokasi bersejarah itu melambangkan pertemuan antara warisan negara dengan aspirasi masa hadapan.

“Inilah semangat di sebalik tema MSAM kali ini, ‘Kita Generasi Labur’, satu ‘gerakan’ yang menyeru rakyat Malaysia membudayakan amalan menyimpan dan melabur, merentasi generasi.

“Gerakan ‘Kita Generasi Labur’ adalah aspirasi kami untuk membina generasi yang celik kewangan dan berdaya tahan selaras dengan matlamat PNB mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi,” katanya.

Sebanyak RM590,000 pula diperuntukkan bagi inisiatif ASNB Bijak yang menggalakkan ibu bapa memulakan pelaburan untuk anak sejak usia muda.

Menerusi inisiatif itu, ASNB menawarkan tambahan pelaburan percuma sebanyak RM5 bagi setiap pelaburan RM100 ke dalam akaun ASNB Bijak baharu, tertakluk kepada 118,000 akaun pertama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news