LATEST

Mental kental, Syasya buru emas

Mental kental, Syasya buru emas

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: KRW ‘punching bag’ pasukan lain

Kuala Lumpur: Penembak negara, Nurul Syasya Nadia Mohd Arifin mahu memperkukuh kekuatan mental bagi memastikan penampilan sulung di pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) bulan depan mampu diterjemahkan dalam bentuk pingat emas.

Jelasnya, untuk berada di podium, dirinya akan memberi tumpuan kepada aspek konsistensi latihan agar setiap tembakan mampu mengenai sasaran tepat sekali gus mengumpul mata tertinggi bagi membuka peluang lebih cerah untuk muncul selaku pemenang.

Katanya, pengalaman menyertai beberapa kejohanan sebelum ini banyak membantunya mengenal pasti aspek yang perlu diberikan perhatian, terutama dari segi mental, pengurusan diri serta kawalan ketika melakukan tembakan.

“Untuk persiapan kali ini, saya lebih fokus kepada konsistensi dari segi latihan selain memperkukuh mental sebelum pertandingan. Setiap kejohanan memberikan pengalaman berbeza dan saya lebih tahu perkara yang perlu diberikan perhatian, terutama dari segi mental, pengurusan diri serta konsistensi kawalan ketika melakukan tembakan,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu melihat peluang beraksi di pentas AUG sebagai medan untuk menguji kemampuan diri dalam usaha memburu kejayaan bersama kontinjen negara.

“Sudah semestinya saya mempunyai sasaran peribadi dan fokus utama adalah memberikan prestasi terbaik serta mengekalkan konsistensi. Saya berharap dapat melaksanakan segala yang sudah dilatih apabila berada di gelanggang pertandingan dan bersaing untuk mendapatkan pingat emas buat universiti serta Malaysia,” katanya.

Temasya AUG akan bermula dari 10 hingga 20 Disember depan dan Syasya dijadual beraksi dalam dua acara iaitu 10 meter (m) pistol udara individu dan berpasukan serta 10m pistol udara berpasukan campuran.

Sebagai rekod, Syasya dilihat berada pada momentum terbaik ketika ini selepas berjaya mencipta kejayaan di Kejohanan Menembak Antarabangsa Berlin IWK 2026 (emas), Piala Tun Haniff (emas) dan mencatat rekod kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news