NEW DELHI: Sebuah hospital kerajaan di India gagal menjelaskan bagaimana seorang lelaki yang didakwa tidak menamatkan pengajian sehingga Tingkatan Enam berjaya dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah menggunakan dokumen palsu, termasuk sijil pendaftaran Majlis Perubatan Delhi (DMC).
Suspek, Ramkishor Mahawar, ditahan bersama tiga individu lain oleh Pasukan Operasi Khas Polis Rajasthan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan ijazah perubatan yang beroperasi merentasi beberapa negeri, lapor Hindustan Times.
Baca juga: Yong Ren cipta sejarah, juara dunia beregu lelaki B-15
Menurut polis, Mahawar menggunakan ijazah palsu Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana Pembedahan (MBBS) serta Sarjana Perubatan (MD) untuk mendapatkan pendaftaran dengan DMC.
Dia kemudian dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah secara kontrak di Hospital Safdarjung pada Jun 2025.
Seorang pegawai polis Rajasthan berkata, Mahawar ditahan di Delhi pada 8 November lalu, sebelum pihak berkuasa mengesan tiga lagi suspek di Maharashtra, Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh.
Pembongkaran sindiket itu bermula di Jaipur selepas pendaftar Majlis Perubatan Rajasthan membuat laporan polis pada Oktober 2024 berhubung tindakan beberapa individu mendapatkan pendaftaran sebagai pengamal perubatan menggunakan dokumen palsu.
Menurut garis panduan pengambilan yang disiarkan di laman webnya, Hospital Safdarjung mempunyai 397 jawatan pegawai perubatan siswazah yang diluluskan, masing-masing bagi tempoh perkhidmatan setahun.
Calon perlu memiliki ijazah MBBS daripada universiti yang diiktiraf, berdaftar dengan Majlis Perubatan Delhi (DMC) serta menamatkan latihan amali dalam tempoh dua tahun sebelum mengemukakan permohonan.
Pemilihan dibuat menerusi peperiksaan bertulis, diikuti sesi penempatan jabatan berdasarkan merit dan markah peperiksaan calon.
Garis panduan itu menyatakan pemilihan pegawai perubatan siswazah dibuat melalui peperiksaan bertulis sebelum calon ditempatkan di pelbagai jabatan berdasarkan merit, tanpa sebarang temu duga.
Bagaimanapun, pihak hospital enggan memberikan penjelasan kepada Hindustan Times berhubung kaedah pengesahan dokumen, proses pemilihan Mahawar meskipun tidak memiliki kelayakan ditetapkan, jabatan tempat dia bertugas serta tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab dalam proses pengambilan dan pengesahan.
DMC memaklumkan kepada Polis Rajasthan pihaknya tidak pernah mendaftarkan Mahawar sebagai pengamal perubatan, menurut surat majlis itu kepada polis yang diteliti Hindustan Times.
Dalam surat berkenaan, DMC menjelaskan rekodnya tidak menunjukkan sebarang pendaftaran atas nama Mahawar menggunakan nombor sijil 33624 bertarikh 10 Julai 2025, selain menegaskan sijil itu bukan dikeluarkan oleh pihaknya.
Surat itu merupakan maklum balas terhadap permohonan Pasukan Operasi Khas (SOG) bertarikh 25 November 2026 yang meminta maklumat berhubung pendaftaran berkenaan.
Bagaimanapun, Hindustan Times tidak dapat mengesahkan sama ada Mahawar menggunakan lebih daripada satu sijil pendaftaran DMC kerana dia dipercayai mula bertugas di Hospital Safdarjung sebelum tarikh pendaftaran yang tertera pada sijil berkenaan, iaitu 10 Julai 2025.
The post Lelaki jadi doktor guna ijazah palsu appeared first on Utusan Malaysia.