SAN JOSE – Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin, Francesca Albanese akhirnya dibenarkan meninggalkan Costa Rica selepas terkandas di lapangan terbang negara itu akibat sekatan kemasukan oleh pihak berkuasa.Albanese dijadualkan berlepas ke Mexico pada Sabtu selepas dihalang memasuki San Jose sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria pada Khamis.Beliau mendakwa pihak imigresen negara itu menolak kemasukannya atas alasan keselamatan selain mengaitkannya dengan satu amaran antarabangsa berhubung dakwaan hubungan dengan kegiatan pengganas.Albanese menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas selepas pasportnya turut ditahan hingga menyebabkan beliau terpaksa menunggu di kawasan transit lapangan terbang selama lebih dua hari.Mahkamah Perlembagaan Costa Rica kemudiannya mengeluarkan perintah sementara supaya beliau dibenarkan meninggalkan kawasan lapangan terbang dan ditempatkan di sebuah hotel.Albanese berkunjung ke Costa Rica atas jemputan Universiti Costa Rica untuk menerima Ijazah Doktor Kehormat. Namun, sekatan itu mengakibatkan beliau terpaksa menyampaikan ucapan sempena majlis penganugerahan secara maya dari lapangan terbang.Sebelum ini, Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan pihak berkuasa Costa Rica dan menggesa pemerintah mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.Kementerian Luar Itali juga memaklumkan bahawa pihaknya telah meminta Costa Rica membenarkan Albanese memasuki negara itu selain menawarkan bantuan konsular menerusi kedutaan.Albanese yang lantang mengkritik tindakan Israel di Gaza dan wilayah Palestin turut berdepan sekatan yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) susulan kritikannya terhadap dasar Washington berkaitan konflik berkenaan.Pelapor khas PBB merupakan pakar bebas yang dilantik untuk menyiasat serta melaporkan isu pencabulan hak asasi manusia dalam bidang tertentu. – Agensi
Pelapor khas PBB berlepas ke Mexico selepas dihalang masuk Costa Rica
Malay News | https://www.malay.news/pelapor-khas-pbb-berlepas-ke-mexico-selepas-dihalang-masuk-costa-rica/