LATEST

Dulu ibu redah panas jalan kaki 3KM hantar meja belajar, kini anak raih pingat emas UPSI

Dulu ibu redah panas jalan kaki 3KM hantar meja belajar, kini anak raih pingat emas UPSI

Bukan datang daripada keluarga berada, namun kesusahan hidup tidak pernah menjadi alasan buat Evlyana Cosmas untuk mengalah dalam mengejar impiannya, apatah lagi mengenangkan besarnya pengorbanan kedua ibu bapanya.

Ibu jalan kaki hantar meja belajar

Graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 24 tahun itu tidak pernah melupakan momen ibunya sanggup berjalan kaki sejauh tiga kilometer dalam keadaan panas terik semata-mata untuk menghantar meja belajar kepadanya.

Baca juga: Celik kewangan perlu dipupuk dari kecil elak lahir generasi boros – PM

Kini, pengorbanan tersebut terbalas apabila Evlyana berjaya meraih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (PENC) kategori Bukan Bumiputera pada Istiadat Konvokesyen UPSI ke-28.

Foto: Evlyana bersama ibunya pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI. 

Ibu ambil upah cuci rumah RM50 sehari

Anak sulung daripada tiga beradik yang berasal dari Ranau, Sabah itu berkata, ibunya, Maria Bulu Masan, 58, merupakan seorang suri rumah yang turut mengambil upah membersihkan rumah dengan bayaran RM50 sehari.

Bapanya, Cosmas Dosi Samon Jumat, 51, pula sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, namun tidak lagi mampu bekerja kerana masalah kesihatan.

Biarpun hidup serba sederhana, ibunya tidak pernah berkira dalam soal pendidikan sehingga sanggup menyediakan komputer riba berharga hampir RM3,000 ketika Evlyana berada di Tingkatan Enam.

“Pernah saya bertanya sama ada mama mempunyai wang untuk membeli komputer riba kerana saya memerlukannya bagi menyiapkan kerja kursus. Mama jawab, ‘ada, apa pun untuk kamu punya pelajaran, ada’.
“Tidak sampai seminggu, komputer riba baharu sampai di rumah. Duit hasil kerja mama tidak pernah digunakan untuk dirinya sendiri, sebaliknya semuanya untuk membiayai persekolahan kami,” katanya.

Foto: Evlyana ketika meraih Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (PENC) kategori Bukan Bumiputera pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Empat tahun tak pulang sambut Krismas

Memahami keadaan keluarganya, Evlyana turut bekerja sambilan sejak semester ketiga bagi menampung keperluan sepanjang pengajian.

Malah, selama empat tahun bergelar mahasiswa, dia tidak pernah pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan Krismas bersama keluarga kerana mahu mengumpul wang bagi membiayai pengajian.

“Pasti ada pelangi selepas badai. Itu ayat yang selalu saya gunakan untuk memujuk diri sendiri setiap kali berdepan kesukaran. Perjalanan ini sangat memenatkan, tetapi saya tahu tiada pilihan lain selain perlu menghabiskan pengajian,” katanya.

Foto: Evlyana bergambar kenangan bersama ahli keluarganya pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.

Segala jerih perih itu akhirnya membuahkan hasil apabila Evlyana berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian serta mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82.

Kini, dia bekerja sambilan di kilang Proton bagi mengumpul wang sebelum ditempatkan mengajar, selain menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana sekiranya berkemampuan.

Latest news