SUBANG JAYA: Penyandang, Datuk Ong Kim Swee mempertahankan jawatan selaku Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi penggal 2026-2030 selepas Kongres Tahunan PJBM, hari ini.
Baca juga: Ayam Dalam Kereta: Wanita Tular Terjumpa Ayam Dalam Enjin
Kim Swee meraih kemenangan selesa apabila memenangi undi terbanyak dengan 142 undi, meninggalkan dua pencabarnya iaitu Datuk Richard Scully yang meraih 28 undi dan Azlan Johar (23 undi).
Dua kerusi Timbalan Presiden menjadi milik Razip Ismail dan Asri Ninggal yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding.
Empat kerusi Naib Presiden diisi Mohamad Ishak Kunju Kunju Mohamad (163 undi), ACP (B) Dali Wahid (153 undi), Nidzam Jamil (151 undi) dan juga Chiew Chun Yong (121 undi).
Bagi lapan kerusi EXCO Lelaki, Shukor Adan mendapat undian tertinggi dengan 168 undi diikuti Bunyamin Umar (154 undi), Ridzuan Abu Shah (153 undi) dan Shahrom Kalam (153 undi).
Melengkapkan empat kerusi EXCO lelaki adalah Noor Zaidi Rohmat dan Rashid Mamud (147 undi), Zaquan Adha Abdul Radzak (146 undi) dan V Kavichelvan (133 undi).
Farhana Abdullah (147 undi) dan Anies Maizura Ibrahim (108 undi) dipilih sebagai EXCO Wanita.
Kim Swee ketika ditemui selepas kongres berakhir menegaskan tumpuan ketika ini adalah untuk meneruskan agenda yang belum selesai, memperkukuh pembabitan ahli serta memperluas kerjasama strategik.
Beliau menyifatkan amanah baharu yang diberikan oleh perwakilan membawa tanggungjawab besar untuk memastikan perancangan persatuan dilaksanakan secara berterusan, selain menekankan keperluan sokongan penaja dan rakan strategik bagi menjayakan program persatuan.
“Saya rasa ini satu tugas yang cukup mencabar, apa sekalipun saya mengucapkan terima kasih pada semua perwakilan yang mempercayai tugas saya sebagai Presiden dan untuk menyambung tugas-tugas yang belum selesai dalam empat tahun yang akan datang.
“Seperti saya katakan sebelum ini, tugas mencabar di mana kita dapat lihat ramai ahli-ahli PJBM yang hadir buat kali pertama untuk kongres dan ini menunjukkan PJBM sudah melakukan beberapa langkah di mana banyak yang perlu kita lakukan lagi selepas ini,” katanya.
Selain kehadiran wajah baharu yang menjadi isyarat positif terhadap kesedaran jurulatih tempatan untuk berpersatuan, Kim Swee turut menegaskan bahawa penganjuran seminar dan projek masa depan memerlukan jalinan kerjasama erat termasuk bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Sudah tentu kita harus bekerjasama dengan banyak pihak dan saya harap terutamanya penaja-penaja dapat datang untuk membantu apabila kita melakukan seminar-seminar termasuklah FAM.
“Ini amat penting untuk kita mengadakan kolaborasi bagi membolehkan kita melakukan banyak lagi projek-projek yang akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd