LATEST

Seludup dadah guna aset TUDM: Anwar mahu siasatan menyeluruh

Seludup dadah guna aset TUDM:  Anwar mahu siasatan menyeluruh

Seremban: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mahu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes penyeludupan dadah menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Baca juga: Isteri maut, anggota trafik cedera nahas motosikal

Beliau berkata, kes berkenaan bukanlah kes terpencil dan tidak boleh dipandang ringan, memandangkan ia melibatkan penyalahgunaan aset pertahanan negara untuk kegiatan jenayah.

“Ini semalam dan dua tiga hari ini, heboh soal TUDM guna pesawat pertahanan negara, seludup dadah (bernilai) ratus juta ringgit. Bukan sekali, berpuluh kali, 20 kali … nak suruh kita ringankan, tutup kes itu, saya minta maaf.

“Kalau begini, cari orang lain. Saya selagi diberi amanah, saya dah beritahu, kamu melakukan pengkhianatan kepada negara, rasuah, guna pesawat TUDM seludup dadah, nak marah, marahlah … saya tidak peduli, tindakan wajib diambil. Saya bukan nak panjangkan isu tetapi semua harus tahu,” kata beliau ketika berucap merasmikan program Yakin MADANI yang bertemakan “Memaknai Harapan Rakyat”, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said.

Anwar berkata, beliau telah berhubung dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman bagi membincangkan perkara itu, selain meminta kerjasama penuh pihak berkaitan dalam usaha membersihkan imej institusi pertahanan negara.

“Berapa orang yang terlibat, kaptennya, pegawai tentera dengan sindiket dadah, guna pesawat di lapangan terbang … kita terpaksa ambil tindakan, bersihkan,” kata beliau.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata seorang lagi pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset ketenteraan.

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini sebanyak 18 orang.

Pada 17 Nov lepas, sebanyak 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.

Polis turut merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg bahan kimia dalam operasi berkenaan.

Selain itu, tiga pegawai TUDM dan tiga individu lain turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor semalam atas pertuduhan mengedar lebih 90 kg dadah jenis methamphetamine pada 17 Nov lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha kerajaan untuk membanteras rasuah dan penyelewengan tidak seharusnya dilihat berdasarkan kepentingan politik, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan wang dan aset negara tidak disalahgunakan.

Beliau turut menolak tanggapan bahawa amalan rasuah merupakan perkara biasa dalam kalangan pemimpin atau penjawat awam, selain menegaskan budaya sedemikian boleh merosakkan negara dan menjejaskan usaha pembangunan.

“Ini bukan soal parti. Staf saya ada yang ditangkap dan didakwa. Apakah saya suka? Saya tak suka, tapi saya patuh kepada undang-undang dan saya nak negara ini selamat daripada amalan ini.

“Saya bimbang hal ini kerana saya lihat ada sebahagian daripada rakyat kita pandang ringan,” kata beliau.

Anwar berkata, pendedahan kes berkenaan juga perlu dilihat dalam konteks usaha kerajaan membanteras kebocoran dan penyelewengan yang didakwa turut berlaku dalam agensi lain, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata kelemahan penguatkuasaan atau penyalahgunaan sistem pemantauan tidak seharusnya dijadikan ruang oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan bagi mengelak pemeriksaan dan menyeludup barangan.

Perdana Menteri berkata usaha memelihara integriti dan membanteras amalan yang merosakkan tatakelola negara perlu menjadi tanggungjawab semua pihak dan memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip amanah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news