KUALA LUMPUR: Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung di Stadium Merdeka, di sini, hari ini gamat dengan sesi ‘Meet & Greet’ bersama hos Wanita Hari Ini (WHI) di Studio Tonton Drama Sangat.
Baca juga: Gaji Penjawat Awam Negeri Sembilan Dijamin Hingga Januari Kata PMX
Tiga pengacara WHI iaitu Sugeeta Chandran, Izza Izelan dan Hanna Faresha tampil menyantuni peminat yang sudah menanti sejak awal pagi sambil mengadakan acara permainan mudah yang menggeletek hati.
Sugeeta yang bersama WHI sejak 2019 berkata, dia teruja apabila KJH diadakan di Stadium Merdeka yang juga lokasi ikonik di kalangan rakyat Malaysia.
“Saya sering juga hadir ke konsert yang diadakan di sini, namun kali ini berbeza kerana buat julung kalinya KJH diadakan di sini iaitu lokasi yang mudah dikunjungi.
“Stadium Merdeka ada sentimen sendiri pada semua orang. Malam ini juga ada konsert artis popular dan pasti ramai yang akan datang untuk berhibur,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.
Katanya, lebih menarik program KJH turut dikunjungi pelbagai kaum termasuk orang India.
“Saya rasa lokasi ini sangat sesuai dan mudah untuk dikunjungi kerana sistem pengangkutan awam yang baik. Selain rakyat tempatan, pelancong asing pun datang dan ia sesuatu yang positif,” katanya.
Izza pula berkata, dia gembira dapat bertemu dengan peminat WHI kerana dirinya juga terbabit dalam badan bukan kerajaan (NGO) dan kerja-kerja komuniti membabitkan masyarakat.
“Ini kali kedua saya terbabit dalam program KJH selepas Johor Bahru. Memang seronok kerana ada peminat yang dari dulu ikuti perkembangan saya, hadir berikan sokongan.
“Mereka rindu nak tengok saya selepas saya berehat agak lama dari bidang penyiaran,” katanya.
Bagi Hanna Faresha pula, sebagai orang baru, dia seronok dapat terbabit dalam program sebegini.
“Aktiviti begini mendekatkan saya dengan peminat. Kena pula bergandingan dengan senior-senior yang berpengalaman, memang sesuatu yang menyeronokkan,” katanya.
Manakala, sesi Meet & Greet Drama TV3 pula menampilkan Qistina Khaled, Muhsin Nadzli dan Lorenzo Irman.
Sesi ‘Meet & Greet’ akan diteruskan esok dengan kehadiran pengacara lain antaranya Fiza Sabjahan, Izza dan Nurin Razmyn.
Turut akan diadakan ialah Meet & Greet Drama TV3 bersama Sharifah Rose Syarul Ezani dan Yasmin Hani.
KJH adalah acara padang paling lama di Malaysia yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) berlangsung mulai semalam hingga esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd