PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperhalusi pindaan Akta Orang Asli 1954 bagi memastikan hak, kepentingan tanah, penempatan, adat serta warisan masyarakat itu terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata usaha memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli menerusi pindaan akta itu perlu mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira perbezaan pegangan politik atau ideologi.
Baca juga: New Impact 29 C beri amaran, pasukan pertama tempah tiket ke suku akhir
Beliau berkata, kepentingan masyarakat Orang Asli perlu diberi keutamaan, termasuk melalui kerjasama dengan kerajaan negeri serta pelaksanaan libat urus bersama masyarakat tempatan.
“Kita mesti memperhalusi pindaan Akta Orang Asli 1954 untuk menentukan bahawa Orang Asli mesti diletakkan di tempat yang tinggi berdasarkan hak Orang Asli itu yang mesti terus diperjuangkan.
“Kerajaan mahu kepentingan tanah untuk Orang Asli, penempatan, adat dan warisan terus dijaga melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, dan libat urus bersama masyarakat tempatan mesti dilakukan,” katanya ketika berucap merasmikan Himpunan Perdana Penjawat Awam Orang Asli (HPPAOA) 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Suriani Ahmad; serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Muhammad Akmal Ila Ahmad.
Program itu dihadiri lebih 3,000 daripada 5,200 penjawat awam Orang Asli daripada pelbagai skim, gred dan perkhidmatan pada peringkat Persekutuan dan negeri.
Program itu melakar sejarah apabila HPPAOA 2026 yang julung kali dianjurkan pada peringkat kebangsaan turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai perhimpunan terbesar penjawat awam Orang Asli di Malaysia.
Himpunan itu mencerminkan kemajuan penyertaan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam negara, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian bakat, kepakaran dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, menggesa semua pihak supaya tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang usaha memperjuangkan hak masyarakat Orang Asli, sebaliknya perlu menggembleng tenaga bagi memastikan pindaan akta itu dapat direalisasikan segera.
“Dalam perkara ini, jangan berpecah sesama sendiri. Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang berbeza pegangan politik dan ideologi, dalam soal Akta Orang Asli ini jangan berbeza pendapat.
“Kita mesti bersatu hati untuk bersama-sama memperjuangkan pindaan Akta Orang Asli yang baharu ini dilaksanakan dengan segera.
“Jangan berbeza pendapat. Kita sama-sama menggembleng tenaga untuk merealisasikannya.
“Jadi dalam usaha itu, kita harus bersatu hati,” katanya.
Pada program itu, Anugerah Ikon Penjawat Awam Orang Asli disampaikan kepada Pengarah Hospital Orang Asli Gombak, Dr Izandis Mohamad Sayed daripada suku kaum Mah Meri/Semai, dan Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Sunarti Atep daripada suku kaum Semai.
The post Pindaan Akta Orang Asli akan diperhalusi – Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.