LATEST
National

Selangor rampas takhta Liga Super dari JDT

Selangor rampas takhta Liga Super dari JDT

KOTA KINABALU: Selangor FC merampas takhta Liga Super dari Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas membenam Sabah FC 4-2 pada aksi di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Baca juga: Sorang maut, kereta terjunam ke gaung

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Kim Pan Gon mengumpul 21 mata daripada tujuh aksi, tiga mata mengatasi JDT yang tidak beraksi minggu ini.

Bermula dengan permainan yang agak perlahan pada babak pertama, pasukan pelawat melakar satu jaringan sepanjang separuh masa pertama, sebelum menambah tiga lagi jaringan pada babak kedua.

Sang Badak pula awal-awal lagi dikecewakan Selangor apabila gawang tuan rumah itu dibolosi hasil rembatan Jose Vitor Rodrigues Da Silva Dos Santos atau Vitor Pernambuco pada minit keenam.

Gerakan yang lemah, selain sering terlepas bola dan serangan yang kurang menyengat menyebabkan Sang Badak hanya mampu untuk menghalang tambahan jaringan pasukan lawan sehingga akhir babak pertama.

Dua cubaan pada minit kecederaan babak pertama menerusi umpanan Mohd Fayadh Mohd Zulkifili Amin dan sepakan Sho Yamamoto mempunyai peluang yang baik untuk menghasil gol buat Sabah, namun hampa.

Hasilnya, Sabah gagal mencipta sebarang gol pada separuh masa pertama, namun bernasib baik dapat menghalang Selangor daripada menambah jaringan untuk dibawa ke babak kedua.

Dengan kedudukan 0-1 yang memihak kepada pasukan pelawat, Sang Badak perlu bekerja keras untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan pada babak kedua, namun sekali lagi dikecewakan gol kedua Selangor pada minit ke-51.

Gol dijaringkan Hugo Adnan Boumous itu menambah jurang jaringan kepada 0-2, sebelum pemain tuan rumah berhasil mencipta gol pertama menerusi Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-60 yang mengubah kedudukan kepada 1-2.

Tanpa diduga, Sang Badak berjaya mendapatkan gol kedua menerusi jaringan Fayadh pada minit ke-70, sekali gus memberi kelegaan kepada pasukan apabila berjaya menyamakan kedudukan kepada 2-2.

Namun, Sabah dikecewakan semula apabila seminit selepas itu Selangor kembali menambah jaringan pada minit ke-71 menerusi Quentin Cheng untuk menjarakkan semula kedudukan kepada 2-3.

Berbaki 20 minit perlawanan, Sabah berusaha mencari jaringan tambahan bagi menidakkan kemenangan Selangor, namun strategi lawan memperkuatkan pertahanannya menyukarkan pemain Sang Badak untuk menembusi gawang pasukan pelawat.

Sebaliknya, Selangor berjaya menambah satu lagi jaringan menerusi Muhammad Aliff Yuslan untuk menjadikan kedudukan kepada 2-4 pada minit ke-89.

Dengan kedudukan itu dan masa singkat yang berbaki, termasuk tiga minit masa tambahan, hampir mustahil untuk skuad Sang Badak mencari jaringan penyamaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news