NEW YORK: Pekerja syarikat e-dagang gergasi Amerika Syarikat (AS), Amazon, mengadakan mogok dan demonstrasi di lebih 20 negara bermula Jumaat bagi menuntut kenaikan gaji serta memperkukuh hak perlindungan pekerja.
Tindakan selama empat hari yang dianjurkan Kesatuan Global UNI dan Progresif Antarabangsa menerusi kempen ‘Make Amazon Pay’ itu berlangsung ketika Amazon memasuki antara tempoh jualan paling sibuk tahun ini dan dijadualkan berakhir pada Cyber Monday, menurut kenyataan penganjur.
Baca juga: JAINJ nafi peserta Kursus Praperkahwinan wajib lulus peperiksaan
Menurut agensi berita Anadolu, kesatuan sekerja Jerman, United Services Union (ver.di) menggesa mogok di 11 kemudahan Amazon bermula awal Jumaat.
Sementara itu, kesatuan sekerja di India mengumumkan penganjuran perhimpunan di sekurang-kurangnya 23 lokasi di seluruh negara.
Demonstrasi turut dirancang di beberapa negara lain, termasuk Poland, Brazil, Jepun dan Afrika Selatan, sementara kesatuan sekerja Teamsters di AS akan mengadakan protes di Los Angeles serta Chicago pada Isnin.
Kempen yang memasuki tahun ketujuh penganjurannya itu turut menggesa Amazon mengiktiraf hak pekerja untuk berunding secara kolektif, meningkatkan keselamatan di tempat kerja, membayar cukai sewajarnya serta menangani kesan operasi syarikat terhadap alam sekitar.
Demonstrasi itu berlangsung dua minggu selepas kira-kira 800 kakitangan gudang Amazon di British Columbia, Kanada, berjaya memperoleh perjanjian kesatuan sekerja pertama yang mengikat syarikat itu di Amerika Utara.
Perjanjian bagi tempoh tiga tahun yang dicapai menerusi proses timbang tara itu merangkumi kenaikan gaji, penambahbaikan kelayakan cuti serta faedah pemberhentian kerja.
Dalam kenyataan kepada Sky News, Amazon mempertahankan amalan pengambilan pekerjanya dengan menyatakan syarikat itu menawarkan gaji dan faedah kompetitif selain persekitaran kerja yang selamat.
Syarikat itu turut memaklumkan ia menggaji lebih 1.5 juta kakitangan secara langsung di seluruh dunia.
The post Pekerja Amazon di 20 negara lancar mogok, protes appeared first on Utusan Malaysia.