LATEST

KWSP dekati masyarakat, perkasa literasi kewangan menerusi Pesta Kita Baik-Baik 2026

KWSP dekati masyarakat, perkasa literasi kewangan menerusi Pesta Kita Baik-Baik 2026

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Baca juga: Pemain Real Madrid bergaya dengan BMW percuma

Kuala Lumpur: Penganjuran Pesta Kita Baik-Baik 2026 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berlangsung bermula semalam hingga Ahad ini di KLCC Square mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan kira-kira 5,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran program berkenaan.

Katanya, sebanyak 68 vendor mengambil bahagian merangkumi 30 makanan, 12 minuman, 17 fesyen, empat kecantikan dan lima daripada kategori lain.

“Pesta Kita Baik-Baik dianjurkan untuk mendekatkan KWSP dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih santai, interaktif dan inklusif.

“Program ini menggabungkan elemen literasi kewangan, gaya hidup, keusahawanan, hiburan dan aktiviti kekeluargaan selain membawa mesej mengenai kepentingan perancangan kewangan dengan cara lebih mudah difahami,” katanya.

Nursyahida berkata, program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk ahli KWSP, golongan muda, keluarga serta komuniti sekitar Lembah Klang.

“Pelbagai pengisian disediakan supaya pengunjung daripada latar belakang dan peringkat umur berbeza dapat menikmati program ini bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Ramai pengunjung mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan termasuk aktiviti literasi kewangan, bengkel interaktif, gerai jualan, permainan serta persembahan.

“Antara pengisian disediakan ialah Jelajah Literasi Kewangan KWSP Pilih Baik-Baik, Simulasi Literasi Kewangan, bengkel interaktif, permainan tradisional serta persembahan kebudayaan dan muzik,” katanya.

Menurutnya, KWSP melaksanakan program turun padang secara berterusan setiap tahun menerusi Jelajah Literasi Kewangan KWSP bagi mendekati masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan literasi serta perancangan kewangan.

“Pesta Kita Baik-Baik adalah antara pendekatan memperluaskan usaha ini dalam skala dan format yang lebih besar dengan menggabungkan elemen literasi kewangan, komuniti, keusahawanan dan hiburan.

“Kami berharap Pesta Kita Baik-Baik dapat mendekatkan KWSP dengan masyarakat selain menjadikan literasi dan perancangan kewangan sesuatu yang lebih mudah difahami dan relevan.

“Selain itu, pengunjung diharap dapat menikmati pengalaman bersama keluarga dan rakan selain membawa pulang pengetahuan dan kesedaran yang boleh membantu mereka membuat keputusan kewangan lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news