MADRID: Skuad Real Madrid menerima kereta baharu keluaran BMW yang dianggarkan bernilai £3.6 juta (RM19.4 juta) menerusi perjanjian penajaan kelab itu bersama pengeluar kenderaan dari Jerman berkenaan.
Baca juga: Karnival Jom Heboh di Stadium Merdeka gamat bersama hos WHI
BMW menjadi pembekal kereta rasmi Real Madrid pada 2022 menerusi perjanjian yang turut membabitkan penyediaan kenderaan kepada skuad utama lelaki dan wanita, kakitangan kelab serta pasukan bola keranjang mereka.
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap alam sekitar, Real Madrid dan BMW turut bekerjasama melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan mobiliti masa depan, kelestarian dan kepelbagaian.
Justeru, kakitangan dan pemain kelab itu dijangka memilih model BMW mesra alam untuk kegunaan harian, termasuk perjalanan ke pusat latihan.
Pemain dan kakitangan Real Madrid dibenarkan memilih sebuah kereta baharu bagi setiap musim, dengan pilihan terbaharu untuk kempen 2026-27 dianggarkan bernilai keseluruhan £3,663,217 (RM19.4 juta).
Model paling mahal menjadi pilihan ialah BMW XM Label yang bernilai kira-kira £165,000 (RM890,58) di mana seramai 15 pemain memilih model berkenaan termasuk Jude Bellingham, Trent Alexander-Arnold dan Bernardo Silva.
BMW M5 Sedan pula menjadi pilihan Eder Militao dan Andriy Lunin, manakala Marc Cucurella satu-satunya pemain yang memilih model BMW X7 M60i xDrive.
Vinícius Jr. dan Endrick masing-masing memilih BMW i7 60 xDrive, manakala Jose Mourinho dan Eduardo Camavinga memilih BMW iX xDrive60.
Kylian Mbappe antara tiga pemain yang memilih BMW iX3 50 xDrive, sementara Federico Valverde satu-satunya pemain yang memilih BMW iX2 xDrive30.
Real Madrid memeterai perjanjian penajaan bersama BMW pada 2022 selepas kerjasama terdahulu dengan Audi berakhir.
Perjanjian itu membolehkan pemain dan kakitangan kelab menikmati kemudahan kenderaan yang disediakan menerusi kerjasama berkenaan, dengan aspek penjagaan alam sekitar menjadi sebahagian daripada komitmen kelestarian kedua-dua pihak.
Presiden Eksekutif BMW Sepanyol dan Portugal, Manuel Terroba berkata, Real Madrid bukan sahaja mewakili institusi sukan terkemuka dunia, malah sebuah organisasi yang sentiasa berkembang dan berusaha mencapai kecemerlangan menerusi tuntutan tinggi, bakat, kualiti serta kepimpinan.
© New Straits Times Press (M) Bhd