sukan@hmtetro.com.my
Baca juga: Pemandu selamat, kereta diletak di tebing sungai hanyut dibawa arus
Kuala Lumpur: Peluang pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, untuk memulakan perlumbaan akhir Moto3 musim 2026 dari kelompok hadapan tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati bermula dari petak ke-15 pada Grand Prix (GP) Valencia, esok.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu pada awalnya mencatat masa yang membolehkannya menduduki tempat kesembilan dalam sesi kelayakan kedua (Q2), namun catatan berkenaan dibatalkan kerana dilakukan selepas bendera merah dikibarkan.
Keputusan itu menyaksikan Hakim akhirnya diletakkan di petak ke-15 dengan catatan masa 1 minit 37.430 saat di Litar Ricardo Tormo.
Catatan itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan ketinggalan 1.492 saat berbanding pelumba terpantas, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang merekodkan 1:35.938 saat untuk meraih petak utama.
David Almansa menduduki tempat kedua dengan catatan 1:35.963 saat, manakala Maximo Quiles, melengkapkan kelompok tiga teratas menerusi masa 1:35.979 saat.
Cabaran Hakim turut terjejas selepas terjatuh pada sesi Latihan Bebas 2 (FP2) yang menyaksikan tunggangannya terhenti selepas hanya lima pusingan. Bagaimanapun, pelumba kelahiran Terengganu itu tidak mengalami kecederaan.
Dia sebelum itu menunjukkan prestasi positif apabila menduduki tempat kelima dalam FP1 dengan catatan 1:37.817 saat, sebelum mengesahkan kemaraan terus ke Q2 menerusi sesi latihan pada Jumaat.
Dalam perlumbaan akhir sejauh 20 pusingan itu, Hakim perlu bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan selain mengutip mata bagi menamatkan musim sulungnya dalam kelompok 10 terbaik kejuaraan dunia.
Ketika ini, pelumba negara itu berada di tangga kesembilan kejuaraan dengan 125 mata, hanya dua mata di belakang pelumba di kedudukan kelapan, Perrone, manakala kelebihannya 12 mata berbanding Rico Salmela di tempat ke-10.
Perlumbaan akhir GP Valencia dijadual bermula pada jam 6 petang waktu Malaysia, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd