amir_hamid@mediaprima.com.my
Baca juga: Polis cari pemandu Toyota Estima lari lepas kemalangan
Kuala Lumpur: Sebanyak RM1.5 juta berjaya dikumpulkan menerusi acara larian amal Bursa Bull Charge × The Edge KL Rat Race 2026 bagi menyokong pendidikan, kebajikan dan keterangkuman golongan orang kurang upaya (OKU).
Acara yang menghimpunkan lebih 600 peserta daripada 57 organisasi korporat itu menyasarkan penyaluran dana bagi membiayai pelbagai program berkaitan kebolehpasaran pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan mental golongan OKU, selain inisiatif pendidikan untuk seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menyertai acara 1-Mile CEO Race bersama peserta OKU dan eksekutif kanan syarikat sebelum melepaskan peserta bagi kategori 5KM Main Race.
Antara peserta yang mengambil bahagian ialah jaguh paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang mencipta sejarah pada Sukan Paralimpik Rio 2016 sebagai atlet pertama Malaysia meraih pingat emas menerusi acara 100 meter lelaki T36.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, penganjuran bersama Bursa Bull Charge dan The Edge KL Rat Race itu cukup bermakna sempena ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia.
Katanya, sokongan sektor korporat, komuniti pasaran modal, penaja dan rakan kerjasama amat penting bagi memastikan pelbagai program yang dilaksanakan mampu membawa perubahan bermakna kepada kehidupan OKU.
Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 875,840 OKU berdaftar di Malaysia sehingga 31 Oktober lalu, sekali gus menunjukkan keperluan menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan itu untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
“Di sebalik angka ini, terdapat individu dengan pelbagai bakat dan aspirasi yang bersedia menyumbang kepada kemajuan negara.
“Sebagai pemimpin perniagaan, kita mempunyai pengaruh besar dalam menentukan peluang yang tersedia kepada orang lain,” katanya ketika berucap pada makan malam selepas acara berkenaan di Bursa Malaysia, di sini, malam ini.
Dalam usaha meneruskan komitmen itu di luar penganjuran acara berkenaan, Bursa Malaysia turut bekerjasama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi membangunkan Malaysia’s Inclusive Employment (MINE) Playbook yang dijadual dilancarkan bulan depan.
Fad’l berkata, panduan itu akan menyediakan pendekatan praktikal kepada organisasi dalam mewujudkan persekitaran pekerjaan lebih adil dan inklusif, selain menjadi rujukan kepada sektor korporat untuk melaksanakan amalan berkenaan.
Beliau berharap komitmen yang ditunjukkan menerusi acara larian itu dapat diterjemahkan kepada perhatian lebih besar terhadap keterangkuman OKU dalam sektor korporat, termasuk menjadikan tempat kerja lebih mudah diakses, menyemak amalan pengambilan pekerja dan menyediakan peluang kerjaya lebih baik.
© New Straits Times Press (M) Bhd