LATEST
Business

Pendapatan bersih Bank Islam naik 3.2 peratus

Pendapatan bersih Bank Islam naik 3.2 peratus

BANK Islam Malaysia Berhad mencatat pertumbuhan berterusan dalam perniagaan terasnya apabila pembiayaan kasar meningkat 8.0 peratus tahun ke tahun kepada RM79.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9M2026), disokong pertumbuhan dalam segmen borong dan runcit.Dalam tempoh sama, pendapatan bersih bank itu meningkat 3.2 peratus kepada RM2.11 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong pertumbuhan 9.9 peratus dalam pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM1.76 bilion serta peningkatan pendapatan fi dan komisen.Bagaimanapun, Keuntungan Selepas Zakat dan Cukai (PAZT) menurun 15.9 peratus kepada RM321.5 juta berikutan peningkatan perbelanjaan operasi, peruntukan rosot nilai dan kos pembiayaan, yang sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan pendapatan bersih.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, pertumbuhan perniagaan teras, kualiti aset yang kukuh dan kedudukan modal yang teguh menyediakan asas mantap untuk fasa pembangunan seterusnya.”Keutamaan kami adalah menterjemahkan pertumbuhan ini kepada pendapatan lebih kukuh, kecekapan operasi lebih tinggi dan pulangan yang mampan.”Kami akan terus memperkukuh disiplin kos, meningkatkan kecekapan pendanaan, mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan produktiviti di seluruh kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Lembaga Pengarah Bank Islam turut mengisytiharkan dividen interim tunai sepenuhnya sebanyak 8.24 sen sesaham biasa melibatkan pembayaran berjumlah RM186.8 juta.Dari segi kedudukan kewangan, Bank Islam mengekalkan nisbah Modal Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET1) pada 13.6 peratus dan Nisbah Modal Keseluruhan (TCR) sebanyak 18.4 peratus.Kualiti aset juga kekal kukuh dengan nisbah pembiayaan terjejas kasar hanya 1.03 peratus setakat akhir September 2026, lebih rendah berbanding purata industri sebanyak 1.42 peratus.Selain itu, deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat 2.2 peratus kepada RM85.6 bilion, manakala akaun semasa, simpanan dan akaun pelaburan berasaskan transaksi (CASATIA) menyumbang 35.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.Mengulas prospek masa depan, Raja Teh Maimunah berkata, Bank Islam akan terus memperluaskan francais perbankannya merentasi perkhidmatan kewangan komuniti, perbankan perniagaan serta penyelesaian korporat dan institusi.Menurutnya, bank itu turut memberi penekanan kepada pengembangan perniagaan berasaskan fi dan perniagaan yang kurang menggunakan modal, selain memperhebatkan automasi, pendigitalan dan kecekapan operasi bagi memperkukuh daya saing jangka panjang.”Kami bukan sekadar mahu menjadi lebih besar, tetapi juga lebih produktif, responsif kepada keperluan pelanggan dan berupaya mencipta nilai mampan kepada pemegang saham serta komuniti,” katanya.

More in Business

View all

Latest news